Umno nak ajak PAS berunding mengenai apa?

SATU – Najib kata Umno sedia berunding dengan PAS dengan syarat PAS tidak menghina Umno. Nik Abdul Aziz kata, tiada rundingan dengan Umno selagi parti itu mengamalkan dasar kebangsaan. Mustafa Ali berkata, tiada sebarang kerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan pada masa depan tetapi sedia berunding isu berkaitan kepentingan rakyat.

Semua orang nampak jerat bidas yang dipasang Umno dalam isu rundingan ini. Matlamatnya ialah pecahkan Pakatan Rakyat. Bukan sangat kerana kepentingan rakyat.


Mengenai perpecahan Melayu? Puncanya Umno. Sampai hari ini, masih ada Naib Canselor Umno sebuah universiti yang masih bertanya soalan, “You Umno ke Pas?” kepada calon tenaga akademik yang bakal diambilnya.

Kalau Najib tidak mahu orang PAS hina Umno, adakah Najib mampu menebus apa yang dibuat oleh (orang) Umno kepada (orang) PAS?

Usah ceritalah; kena tukar, tak naik pangkat, tak dapat pinjaman PTPTN, tak dapat buku teks, tak dapat tanah, tak dapat kontrak, tak dapat baja, tak dapat rumah PPRT,tak dapat… panjang sangat senarainya.

Itu belum senarai tangkap, bunuh, pukul, usaha membuang perkataan Islam daripada pertubuhan yang sasarannya adalah untuk mengharamkan PAS.


Najib seolah-olah baru masuk Umno yang ditubuhkan kelmarin. Bersih, suci,tiada noda dan dosa.

Nak runding isu apa lagi? Saya kata, tiada apa yang nak dirundingkan. Kalau Najib ajak berunding, tentu tiada agenda lain kecuali untuk memerangkap PAS untuk mengukuhkan Umno.

Umno berkuasa pada masa ini. Dengan kuasa Umno boleh perkukuhkan institusi mahkamah syariah, memantapkan agensi penguatkuasaan agama, mengukuhkan ekonomi umat melalui komitmen yang tinggi terhadap pelaksanaan sistem kewangan dan perbankan Islam.

Umno tiada komitmen dalam semua isu itu. Cuba semak, berapa bilangan cawangan atau bahagian Umno seluruh Malaysia yang berurusan menggunakan akaun Bank Islam? Saya yakin semua cawangan dan kawasan PAS seluruh Malaysia berurusan dengan Bank Islam.

Mana komitmen Umno terhadap pembangunan ekonomi Islam?

Nak runding isu-isu berkaitan hubungan kerajaan negeri dengan Persekutuan, ia bukan isu cakap mulut tetapi isu yang ada hitam putih dalam Perlembagaan Persekutuan. Rujuk sahaja kitab itu, patuhi ketetapannya, tentu tiada siapa yang akan terasa dizalimi.

Sebab itu, tidak perlu rundingan PAS Umno. Kalau nak duduk semeja juga ia akan jadi sekadar duduk sambil minum teh dan bila selesai, ‘wal hasil balik asal’.

Saya memang negatif dalam isu rundingan PAS Umno walau pun saya dilatih untuk positif terhadap sesuatu yang bakal dihadapi.

DUA – Hari ini hari pertama saya menulis semula selepas 7 hari terlantar di hospital. Terima kasih buat semua sahabat yang meniarahi saya. Ziarah kalian menjadi ‘supplement’ mempercepatkan penyembuhan. Moga Allah mengukuhkan ikatan ukhuwah antara kita.

Tak lupa kepada sahabat yang menalipon bertanya khabar kerana tak sempat ziarah. Terima kasih kepada tak terhingga kepada sahabat yang tiap-tiap hari SMS bertanya khabar.

Paling istimewa, terimakasih tak tehingga buat Cikgu Adnan Din. Jasa cikgu akan saya kenang sampai bila-bila. Moga-moga Allah mengurniakan kesihatan yang sempurna kepada cikgu untuk terus berbakti dan menyebarkan kebaikan kepada semua.

No comments

Powered by Blogger.