BN Sekat Peruntukan Persekutuan Kepada Selangor

SHAH ALAM, 12 Nov - Sidang Dewan Negeri hari ini semakin hangat apabila menyentuh isu peruntukan Selangor disekat Kerajaan Barisan Nasional sejak Pakatan Rakyat memerintah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Persekutuan jelas engkar menyalurkan peruntukan yang sepatutnya kepada Selangor 400 juta ringgit sahaja diterima berbanding sumbangan hasil cukai negeri melebihi 16 bilion ringgit kepada persekutuan setiap tahun.

“Daripada jumlah itu, RM200 juta diberikan melalui Geran Jalanraya Berdasarkan Maklumat Rekod-rekod Jalanraya Malaysia (Marris), dan selebihnya sumbangan melalui Pemberian Bilangan Penduduk (Capitation Grant)”, kata Tan Sri Khalid.

Beliau berkata demikian menjawab soalan ADUN Taman Medan, Haniza Mohamed Talha.

Khalid turut memberitahu dewan bahawa terdapat beberapa jenis geran Persekutuan.

Antaranya Geran Jalan Raya berdasarkan rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), pemberian berdasarkan Tahap Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP), dan pemberian 5 peratus bagi projek Kerajaan Persekutuan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri.

Ia turut merangkumi pemberian perbelanjaan mengurus (50 peratus) bagi jabatan-jabatan di bawah senarai bersama, pemberian Khas Negeri Selangor (Pemberian pampasan Kuala Lumpur dan Putrajaya), pemberian Bilangan Penduduk (Capitation Grant) dan pemberian pertambahan hasil.

Katanya, pemberian kerajaan pusat sebanyak RM200 juta setahun itu tidak lagi relevan kerana hanya dapat memberikan kira-kira sebanyak 4 ringgit sebulan kepada setiap kira-kira 5 juta penduduk Selangor.

“Ini hanya cukup untuk sarapan pagi,” katanya menjelaskan pemberian tersebut yang termaktub dalam Perkara 109 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Khalid memberitahu tiada sebarang tindakan undang-undang akan diambil sebaliknya berharap Kerajaan Persekutuan berbalik kepada prinsip “equalisation” atau kesamarataan.

Katanya, pemberian geran ini perlu mengambil kira jumlah penduduk, kemiskinan, pembangunan kawasan, kos, pembangunan insan dan indeks pendapatan hasil kasar per kapita. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN.

No comments

Powered by Blogger.