Pembangunan Luar Bandar Bawah Kuasa Persekutuan

SHAH ALAM, 12 Nov - Isu berkaitan pembangunan luar bandar di bangkitkan dalam Sidang Dewan Negeri hari keempat hari ini oleh Adun Dusun Tua, Ismail Sani dan berlaku ketegangan apabila Ismail tidak berpuas hati dengan jawapan pertanyaan mulut dari Adun Meru, Dr Abd Rani Osman.

Bagaimanapun, pertanyaan itu terus di jawab oleh Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari.

Yaakob berkata, berkaitan peningkatan mutu infrastruktur di kawasan luar Bandar, peruntukan itu telah diserahkan kepada JKK, dan Hal Ehwal Orang Asli.

“Peruntukkan telah diserahkan kepada pihak yang terlibat seperti JKK,Pejabat Daerah dan Hal Ehwal Orang Asli dan mereka tersebut yang menguruskanya dan bukan dibawah kuasa kerajaan negeri lagi”, katanya.

Yaakob menambah bahawa peruntukkan dalam pembangunan luar bandar satu per empatnya adalah dibuat oleh kerajaan persekutuan sendiri.

Bagaimanapun pihak kerajaan negeri akan menguruskan dana itu dan dirujuk kepada Pejabat Daerah di kawasan terbabit.

Menurut Yaakob lagi terdapat tiga bentuk dana yang telah disediakan oleh kerajaan negeri bagi membantu rakyat miskin di kalangan petani dan nelayan di Selangor.

Antaranya adalah dalam Program “Blueprint” Pembasmi Kemiskinan, berbentuk dana bantuan peralatan sebanyak RM 10,000, dana Industri Kampung juga dalam bentuk bantuan peralatan bernilai RM 10,000 dan dana Pertanian,Perikanan dan Veterinar bernilai RM 10,000.

Tambahnya lagi kerajaan negeri sedang meniliti dan merancang projek-projek yang berpotensi dalam menjana ekonomi luar Bandar melalui hasil pertanian atau hasil desa dari setiap daerah di negeri Selangor.

Yaakob turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan mengenal pasti mana-mana pihak swasta yang mempunyai kepakaran dan jaringan pasaran yang baik sebelum sesuatu projek bantuan diluluskan.

Katanya, ia bertujuan bagi meminimumkan kegagalan sesuatu projek yang dibiayai oleh kerajaan negeri kepada golongan sasaran. - NUR SHAKIRA BUANG

No comments

Powered by Blogger.