Chua: Terimalah Daku..Jadi Teman Mu

Barisan Nasional (BN) akur dengan keputusan Pendaftar Pertubuhan bahawa Datuk Seri Dr Chua Soi Lek masih timbalan presiden MCA, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita ikut pada undang-undang dan Perlembagaan, kalau begitulah kedudukannya dan disahkan oleh ROS maka kita harus terima," kata timbalan perdana menteri kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Pendidikan Rancangan Malaysia Ke-10 di Petaling Jaya hari ini.

Muhyiddin, yang juga timbalan pengerusi BN, berkata beliau berpendapat keputusan ROS itu dibuat berdasarkan pada sudut teknikal, perundangan dan perlembagaan MCA.

"Maknanya kedudukan itu diputuskan atas dasar perlembagaan parti kerana dalam perlembagaan MCA untuk meluluskan sesuatu resolusi perlu mendapat dua pertiga kelulusan wakil yang hadir dalam perhimpunan.

"Di dalam kes ini mungkin beliau kalah dalam jumlah yang kecil maka atas dasar perundangan yang ada dan perlembagaan itulah ia diputuskan," katanya.

Dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) 10 Okt lalu, perwakilan MCA antara lain, menolak usul mengembalikan jawatan Dr Chua sebagai timbalan presiden dan hanya menerimanya kembali sebagai anggota MCA.

Sementara itu, Dr Chua disahkan masih memegang jawatan tersebut, kata Pendaftar Pertubuhan (ROS) Datuk Md Alias Kalil.

Ini kerana tidak berlaku kekosongan jawatan itu memandangkan keputusan EGM tidak memenuhi keperluan dua pertiga majoriti supaya beliau dilucutkan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 35 Perlembagaan MCA, katanya hari ini.

Beliau berkata surat mengesahkan kedudukan Chua itu dihantar kepada MCA hari ini.

"Surat itu mengesahkan tidak berlaku kekosongan jawatan timbalan presiden MCA. Jawatan itu hanya boleh terlucut jika delegasi memberi majoriti dua pertiga untuk dilucutkan," katanya.

Dr Chua sebelum itu berkata beliau telah menerima surat daripada ROS yang mengesahkan beliau masih timbalan presiden MCA.

Pada Ogos lalu, Majlis Presiden MCA memecat Dr Chua daripada parti itu berkuatkuasa serta-merta berikutan kes skandal seks beliau yang terpapar dalam DVD dua tahun lepas.

Bagaimanapun, pada 19 Sept, jawatankuasa pusat parti itu membatalkan keputusan pemecatan itu dan sebaliknya mengenakan hukuman gantung keahliannya selama empat tahun. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.