Final Piala Malaysia, Nik Aziz mungkin umum Kelantan cuti ! Husam Musa Dijangka Hadir

Kerajaan Kelantan mungkin mengisytiharkan cuti pada Ahad ini 8 November bersempena perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara pasukan Kelantan menentang Negeri Sembilan.

Perkara itu bagaimanapun hanya akan diputuskan pada mesyuarat exco kerajaan negeri esok.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata cuti berkenaan diberikan bagi menghargai skuad negeri 'Red Warriors' yang telah berjaya ke perlawanan akhir selepas 39 tahun dalam penantian.

"Cuti berkenaan diberikan juga untuk kemudahan para penyokong untuk memberi sokongan kepada pasukan kita, khususnya dari Kelantan,"ujarnya.

Menurutnya, mereka tidak perlu bersusah payah memohon cuti atau tergesa-gesa untuk pulang semula ke kampung halaman masing-masing untuk bekerja keesokan harinya.

"Walaupun kita belum pasti adakah kita akan menjadi juara pada malam itu, namun cuti tetap akan diberikan pada hari Ahad ini atas sebab-sebab sedemikian,"ujarnya.

Sambungnya, mudah-mudahan dengan cuti yang diberikan oleh kerajaan negeri, para penyokong khususnya yang sama-sama turun ke Stadium Bukit Jalil akan pulang dengan tenang dan selamat.

Pada masa yang sama beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan negeri kerana telah berjaya melangkah gagah ke peringkat akhir.

Beliau juga berharap, dengan prestasi yang semakin meningkat itu skuad Kelantan diharap mampu menjuarai perlawanan peringkat akhir.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, ketika ditemui berkata, dianggarkan hampir 50,000 penyokong Kelantan akan memberi sokongan di Stadium Bukit Jalil nanti.

Sebelum ini Tuan Guru telah mengikuti perlawanan separuh akhir pertama antara Kelantan menentang Perlis di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV berkesudahan pasukan merah putih itu menang dengan 2-0.

Perlawanan kedua separuh akhir antara Kelantan menentang Perlis itu juga sekali lagi skuad 'Red Warriors' berjaya menewaskan Perlis dengan 3-1.

Anggota-anggota exco kerajaan negeri termasuk Datuk Husam Musa dijangka hadir menyaksikan perlawanan berkenaan.

No comments

Powered by Blogger.