Kerajaan Negeri Adakan Mesyuarat Khas Siasat Kes Dr Asri

AMPANG, 3 Nov - Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan mesyuarat khas menyiasat kes penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada mesyuarat Exco di Shah Alam esok.

Ia diadakan bagi mengenalpasti kesalahan Dr Asri sehingga beliau ditahan pegawai JAIS Ahad lepas.

Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan Pengarah JAIS, Mohamed Khusrin Munawi turut dipanggil bagi membantu siasatan itu nanti.

“Kerajaan Negeri akan mengadakan mesyuarat Exco besok untuk mengetahui dengan terperinci apa yang berlaku dan apa sebab. Saya telah menjemput Datuk Mufti dan Pengarah JAIS untuk hadir, untuk memberikan beberapa maklumat kepada Exco supaya kita dapat bincangkan”, katanya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Secara Serentak Lima (5) Draf Rancangan Tempatan Negeri Selangor di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya, hari ini.

Baginya tindakan JAIS itu tidak menyalahi undang-undang sepertimana yang diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Islam Selangor malah beliau tiada halangan terhadapnya.

Menteri Besar mahu perkara tersebut disiasat dengan telus untuk mengetahui perkara sebenar pada kes penahanan bekas Mufti Perlis tersebut.

“Saya tidak menghalang apa yang dilakukan oleh JAIS dan pihak agama Islam Selangor kalau dilakukan mengikut lunas undang-undang, dan tetapi yang paling penting, oleh kerana perkara-perkara ini ada hubungannya dengan masyarakat umum, oleh kerana Pakatan Rakyat mengamalkan konsep telus dan keterbukaan, jadi adalah bertanggungjawab pihak JAIS dan Mufti untuk menerangkan”, jelasnya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.