Cukai tanah Selangor tidak turun hingga 2013

SHAH ALAM 16 NOV - Walaupun mendakwa menekankan konsep ‘kerajaan berkebajikan’, Selangor tidak bercadang menurunkan cukai tanahnya sehingga 2013.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, berdasarkan Kanun Tanah Negara 1965, pengiraan semula cukai dilaksanakan setiap 10 tahun.

Beliau berkata, pengiraan semula cukai tanah terkini telah dijalankan pada 2003 dan dikuatkuasakan sepenuhnya tiga tahun lepas.

”Jadi pengiraan semula cukai tanah yang seterusnya adalah pada 2013.

”Namun begitu jika terdapat permohonan mengenai penurunan cukai tanah, pihak kerajaan akan meneliti dan mengkaji secara terperinci sebelum sebarang keputusan dibuat,” kata beliau semasa sesi soal jawab di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Mohamad Satim Diman (BN-Sri Serdang) sama ada kerajaan negeri bercadang menurunkan cukai tanah terutamanya di kawasan luar bandar selaras dengan konsep ‘kerajaan berkebajikan’.

Menjawab soalan Mohamad Satim berhubung pemberi pemilikan tanah bagi setinggan, peneroka, pendudukan sementara (TOL) dan kampung baru, Abdul Khalid berkata, setiap permohonan daripada individu terlibat akan diberi pertimbangan sewajarnya.

Menurut beliau, ia merupakan usaha kerajaan negeri untuk memutihkan penempatan atau penerokaan secara tidak sah di atas tanah kerajaan.

”Setiap permohonan pemberi milikan juga bergantung kepada ulasan teknikal oleh jabatan-jabatan teknikal berkaitan dan pentadbir tanah daerah.

”Pihak berkuasa negeri dalam masa yang sama mengarahkan agar semua pemohon pemberi milikan tanah kerajaan oleh individu diproses secara berkelompok mengikut sesuatu kawasan bagi memastikan proses pemutihan tanah kerajaan diselesaikan secara menyeluruh,” jelas beliau.

Tambah beliau, dasar tersebut berbeza dengan proses sebelum ini di mana permohonan pemberi milikan tanah kerajaan oleh individu diangkat untuk pertimbangan pihak berkuasa negeri secara bersendirian.

No comments

Powered by Blogger.