Engku Emran Ke Bernama TV!

Penghijrahan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Suria FM, Engku Emran ke Bernama TV baru-baru ini agak mengejutkan industri hiburan tanah air memandangkan beliau adalah salah seorang orang kuat yang bertanggungjawab memperkenalkan dan meningkatkan mutu perkhidmatan stesen radio milik Rimamakmur Sdn Bhd itu.

Beliau yang cukup dikenali dengan panggilan EE kini berkhidmat di Bernama TV selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bermula minggu lalu setelah memimpin radio ‘oren’ itu selama tiga tahun.

Kini, ‘kehilangannya’ itu cukup memberi impak kepada kakitangan-kakitangan Suria FM yang lain kerana EE disifatkan sebagai seorang bos yang cukup mengambil berat kebajikan pekerja bawahannya di samping bersedia berkongsi masalah yang berkaitan dengan kerja.

EE belum ada penggantinya

Menurut Ketua Pegawai Penyiaran Suria FM, Yusry Abu Samah, kerusi yang dikosongkan oleh EE buat masa kini masih belum ada penggantinya.

“Sebelum ini, ketika EE bersama Suria FM, saya banyak membantu beliau dalam melaksanakan tugasnya untuk membangunkan stesen radio ini. Dengan pengalaman yang diperoleh ketika bersamanya dahulu, saya akan galas tanggungjawab jawatan tersebut buat sementara waktu sehinggalah ada individu yang layak menggalas tugas tersebut,” jelas beliau ketika ditemui di majlis pelancaran pesta muzik tahunan yang terunggul di Borneo yang dinamakan Stompin Sabah 2009.

Selain itu juga, Suria FM turut melantik seorang pegawai baru, Hawa Abdul Hamid sebagai Pengarah Rancangan Suria FM bagi sama-sama memperkukuhkan tenaga belakang tabir bagi membangunkan jenama Suria FM itu lagi.

Tambah Yusry, dengan adanya ahli keluarga baru dalam Suria FM ini, bermula pada bulan Disember, radio ini juga akan tampil dengan sedikit pembaharuan dari aspek isi kandungan dan juga rancangannya.

“Perubahan ini dibuat bukan bermaksud segala yang dilaksanakan EE dahulu tidak bagus, tetapi ia cuma pendekatan yang dilakukan untuk menambah baik program kami yang dirasakan masih ada yang perlu ditambah untuk memperkemaskannya lagi. Sesiapa juga akan membuat pembaharuan sekiranya untuk menjadi yang terbaik.

“Suria FM juga bakal mengadakan siri jelajahnya bermula Disember ini di sekitar Lembah Klang untuk mempromosi program-program baru kami di samping mendekatkan diri dengan pendengar kami. Namun, apa yang EE lakukan sebelum ini kami akan terus praktikkan,” ujarnya lagi.

Yusry juga menolak dakwaan bahawa pemergian EE ke Bernama TV disebabkan berlakunya kepincangan dalam stesen tersebut tetapi atas faktor beliau menerima tawaran yang lebih baik.

“Hanya satu sahaja faktor EE berhijrah iaitu tawaran yang lebih baik,” jawabnya ringkas.

Stesen radio rasmi Stompin Sabah 2009

Sempena penganjuran pesta muzik terunggul di kepulauan Borneo, Suria FM dilantik sebagai radio rasmi acara tahunan tersebut di bawah anjuran Contagious Concepts (CC).

Acara yang bakal menggegarkan Kota Kinabalu, Sabah ini mendapat sokongan penuh pihak Kementerian Pelancongan Sabah dan juga Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan CC merupakan produksi pertama yang menganjurkan sebuah persembahan muzik secara besar-besaran.

“Suria FM amat berbesar hati untuk turut terlibat dengan sebuah majlis berprestij seperti ini. Sebagai tanda sokongan, stesen radio Suria FM telah pun menganjurkan satu peraduan untuk memberi peluang kepada pendengar kami turut serta dalam majlis yang julung kali diadakan ini,” ucap Yusry kepada media ketika sidang media dan pelancaran acara tersebut yang berlangsung di Borneo Baruk Club, ibu kota baru-baru ini.

Peraduan yang menggunakan nama yang sama, Stompin Sabah 2009 itu telah pun berlangsung selama dua minggu bermula 2 November lalu dan ianya menawarkan pakej istimewa berupa dua keping tiket percuma menyaksikan acara tersebut di Jesselton Point, Kota Kinabalu pada 31 Disember ini bermula jam 8 malam.

Peminat juga boleh mendapatkan tiket tersebut dengan membelinya dengan harga RM30 dan RM130 di pintu masuk Jesselton Point bermula 21 Disember ini atau membuat tempahan dengan menghubungi Julie Maureen di talian 03-56363835.

Unsur muzik moden dan ritma tribal yang akan digabungkan secara live di pentas acara itu merupakan tarikan selain persembahan istimewa DJ Nas-T, DJ Lil’ John, White Percussion Unit, Rhythm Masala, Kadangyan dan juga Monsopiad Tribal Village Troupe.

No comments

Powered by Blogger.