Hujan di Perlis, Kedah, Perak Utara, Pahang berterusan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi hari ini mengeluarkan amaran bahawa hujan sekejap-sekejap dan kadang kala lebat yang turun di Perlis, Kedah, Perak Utara, dan Pahang sejak semalam dijangka berterusan sehingga Ahad ini.

Kawasan-kawasan di Perlis dan Kedah yang terbabit adalah di daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Sik dan Pendang, Baling, Perak Utara (daerah Hulu Perak) manakala Pahang di daerah Kuantan, Maran, Pekan dan Rompin.

Keadaan itu dijangka menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan rendah di tebing-tebing sungai, menurut kenyataan jabatan itu.

Jabatan Meteorologi turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dijangka berterusan sehingga esok di kawasan perairan Samui, Condore, Reef North dan Layang-Layang.

Keadaan itu menyebabkan angin kencang timur laut sehingga mencecah 50-60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter dan berbahaya kepada semua kegiatan perkapalan dan kegiatan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Semalam, jabatan itu melaporkan Kelantan dan Terengganu turut menghadapi situasi yang sama sejak beberapa hari lepas dan dijangka berterusan sehingga Ahad ini. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.