Jejak Ilmuan Selangor Himpun Pakar Tempatan Jana Ekonomi Negeri

KLANG, 8 Nov - Sejajar matlamat kerajaan negeri menjana kembali pertumbuhan ekonomi, Kerajaan Selangor mensasarkan pembangunan sektor perkhidmatan sebagai penyumbang utama pendapatan negeri kelak.

Sehubungan itu, Selangor bakal menjadi hub ilmuan dan pendidikan terkemuka di rantau ini apabila pakar dan cendekiawan negeri dihimpunkan dan menyumbang kepakaran mereka untuk pembangunan Selangor.

Kerajaan negeri berhasrat menjadikan sektor perkhidmatan seperti pelancongan, pendidikan, perubatan dan perbankan Islam diketengahkan sebagai tujahan ekonomi negeri.

“Jejak Ilmuan satu program untuk menarik masyarakat di negeri Selangor untuk memahami konsep ilmu itu ialah satu harta dan harta yang penting, dengan adanya ilmu itu, masyarakat akan dapat mempertingkatkan pembangunan, ini selari dengan keinginan negeri Selangor untuk mengorak langkah bahawa dulunya bergantung kepada pembuatan juga perkhidmatan kerajaan dan pertanian dan akan memasuki satu peringkat yang mana ekonomi perkhidmatan termasuk dari segi universiti, perubatan, pelancongan dan juga khidmat nasihat dalam beberapa aspek kewangan seperti perbankan Islam akan memacu negeri ini ke arah yang lebih maju lagi”, kata Tan Sri Khalid.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian selepas merasmikan program Jejak Ilmuan Peringkat Negeri Selangor di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang, hari ini.

Program ini merupakan inisiatif Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dengan matlamat memacu Selangor ke arah negeri maju berteraskan budaya ilmu.

“Jejak ilmuan ialah kita sekarang ni mencari-cari, menjejaki ilmuan-ilmuan yang ada di Selangor untuk diperkasakan, persadakan, dimasyarakatkan dan kita nak dipertemukan supaya mereka ini kita naikkan taraf mereka sehingga mereka ini boleh meningkatkan pencapaian sehingga ke peringkat antarabangsa”, kata Dr Halimah.

Dr Halimah ketika ditemui menambah, Kerajaan Negeri mahu melahirkan lebih ramai cerdik-pandai dengan menjadikan pakar dan cendekiawan sebagai ikon kejayaan.

“Kita mahu melahirkan ilmuan-ilmuan baru yang bakal yang akan belajar apakah langkah-langkah ataupun critical steps yang perlu diambil dan mereka harus pelajari dengan ilmuan yang sudah berjaya.

“Dengan ilmu ini akan menjadikan merealisasikan hala tuju Selangor 2025 untuk menjadi maju, sejahtera dan berkebajikan idaman semua orang akan benar-benar tercapai”, jelasnya.

Menurut Dr Halimah, usaha menjejaki ilmuan ini penting untuk mengelakkan penghijrahan tenaga pakar tempatan ke luar negara.

Katanya, Jejak Ilmuan ini terbahagi kepada 4 kategori iaitu Jelajah Ilmuan, Pementoran IPT Selangor, Tunas Ilmuwan dan Hari Ilmu Negeri Selangor.

Antara tokoh jemputan pada majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor Akademik UNISEL, Prof Dr Anuar Ahamd; Pengarah Bio-IT Selangor UNISEL, Prof Emeritus Dr Abdul Latif Ibrahim; Ketua Pegawai Teknologi Significant technologies Sdn Bhd, Dr Mohd Khazani Abdullah dan Dekan Fakulti Sains Gunaan Matematik UNISEL, Prof Madya Dr Mohd Khushairi Mohd Rajuddin.

Turut hadir Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Presiden UNISEL, Datuk Dr Rusdi Sarowono. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.