Kes saman Husam terhadap dua Adun BN selesai

KUALA LUMPUR: Saman fitnah Exco Kelantan, Datuk Husam Musa terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) selesai pada 15 Oktober lalu selepas Husam menarik balik saman itu.

Husam, bekas naib presiden Pas, menarik balik saman itu selepas Adun Bukit Bunga, Mohd Adhan Kecik dan Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah membuat permohonan maaf secara terbuka pada awal Jun lalu di akhbar berbahasa Melayu.

Peguam yang mewakili Husam, Saiful Izham Ramli memberitahu bahawa Husam telah memfailkan notis pemberhentian (notis untuk tidak meneruskan saman) itu di Mahkamah Tinggi pada 15 Oktober lalu.

Pada 31 Jan 2008, Husam memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini bagi menuntut ganti rugi RM6 juta terhadap Mohd Adhan, Nozula dan NSTP selepas dua wakil rakyat itu mendakwa Husam terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah jenayah dalam pentadbiran kerajaan negeri dan menggesa Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat.

Kenyataan memfitnah yang didakwa itu telah diterbitkan dalam New Straits Times (NST) dan Berita Harian pada 28 November, 2007.

Saiful Izham berkata bagaimanapun saman terhadap NSTP masih diteruskan.

Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada 6 April tahun depan.

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Fatimah Rubi''ayah Ali dalam kamarnya selepas kes saman Husam terhadap NSTP itu disebut di hadapannya hari ini. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.