Lawatan Sillicon Valley Jana Ekonomi Selangor

KLANG, 8 Nov - Syarikat teknologi terkemuka dunia, Plug N Play yang berpengkalan di Sillicon Valley, California dijadualkan mengadakan lawatan balas ke Selangor pada 19 November ini.

Lawatan ini adalah untuk mengenalpasti tapak Inkubator Modal Teroka (venture capital incubator) di Selangor.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata lawatan ini penting kepada Selangor sebagai pemangkin teknologi penyelidikan, inovasi dan pemasaran komersil produk berteknologi tinggi.

Terdahulu Tan Sri Khalid bersama rombongan anak syarikat kerajaan negeri, SSIC Berhad membuat lawatan kerja ke Sillicon Valley Oktober lalu.

Pada peringkat awal, Kerajaan Negeri Selangor mencadangkan supaya kawasan I-City seluas 70 ekar yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam sebagai tapak usahasama pembangunan teknologi itu nanti.

“Jemputan saya ini supaya mereka mengadakan tapak di Shah Alam, supaya Sillicon Valley ni twinning dengan Shah Alam itu konsepnya, jadi apa yang berlaku di Sillicon Valley kita ada hubungan di Shah Alam, apa yang boleh Shah Alam lakukan boleh kita cuba uji dekat Sillicon Valley, jadi maknanya ada hubungannya Shah Alam dengan Sillicon Valley tapi kita bermula dari satu tempat lebih kurang 70 ekar yang mana dipanggil i-City, yang mempunyai kabel fibre optic yang terbaik di negara kita”, kata Tan Sri Khalid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Ilmuan Selangor di Klang hari ini.

Tambahnya, syarikat Plug N Play yang lebih sinonim dengan produk Yahoo, Google, Pay Pal dan Hewlett Packard itu nanti turut serta dalam projek membangunkan infrastruktur penyelidikan teknologi di Selangor.

Katanya lagi, beberapa pakar dan pencipta produk berteknologi mungkin ditempatkan di Selangor supaya pemindahan teknologi dan mengkomersialkan produk penciptaan tempatan dapat dilakukan dengan lebih praktikal.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri amat mengalu-alukan kehadiran dan usahasama mereka dalam menjadikan Selangor sebagai pusat penciptaan teknologi terkemuka di Malaysia. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.