Mustapa kesal sikap segelintir penyokong tidak berdisiplin

TANAH MERAH: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed kesal sikap segelintir penyokong pasukan itu yang kurang berdisiplin apabila bertindak mengibarkan bendera parti politik dan membakar tempat duduk stadium semasa menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Beliau yang turut menyaksikan sendiri perlawanan itu dukacita kerana sikap sesetengah penyokong itu yang langsung tidak menunjukkan semangat kesukanan ketika menyaksikan perlawanan merebut piala berprestij itu.

Menurutnya, penonton sepatutnya dapat mengawal perasaan ketika menyaksikan perlawanan itu walaupun mahu menunjukkan sokongan kepada mana-mana pasukan yang mereka minati.

"Mereka tidak patut menunjukkan aksi yang tidak bermoral seperti itu yang bukan saja menjejaskan mutu sukan bola sepak, malah menjejaskan imej pasukan," katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan banjir di sini, hari ini.

"Saya kesal tindakan segelintir penyokong yang bertindak liar dengan mengibar bendera parti politik, membakar mercun serta merosakkan tempat duduk terbuka stadium itu, malam tadi," tambahnya.

Mustapa berkata beliau menerima kekalahan Kelantan dalam perlawanan akhir malam tadi, kerana sememangnya menjadi adat pertandingan, pasti ada yang menang dan ada yang kalah.

Perlawanan akhir Piala Malaysia malam tadi menyaksikan Negeri Sembilan muncul juara selepas mengalahkan Kelantan 3-1, namun imej pertandingan sedikit tercalar dengan kejadian baling mercun, membakar kain rentang dan kerusi stadium di sekitar kawasan penyokong pasukan Kelantan. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.