Lebih 4,000 dipindahkan akibat banjir di Kelantan

KUALA LUMPUR: Jumlah mereka yang dipindahkan akibat banjir musim tengkujuh di kelantan meningkat kepada 4,151 orang pagi ini berbanding 3,487 orang, malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata jumlah yang dipindahkan itu adalah dari daerah Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.

"Jumlah itu meningkat berikutan air Sungai Golok, Rantau Panjang yang masih melebihi paras bahaya iaitu 9.93 meter (bahaya 9 meter)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 49 mangsa banjir di Machang dibenar pulang ke rumah masing-masing dan setakat pagi ini tiada jalan utama yang ditutup.

Cuaca pada di Kelantan pagi ini mendung dengan hujan renyai-renyai dilapor di sesetengah kawasan.

Sementara itu, hujan lebat dibeberapa kawasan pedalaman Hulu Kelantan seminggu lalu mengakibatkan 1,000 penduduk di Kampung Pemberian, dekat sini, terputus hubungan apabila jambatan merintasi Sungai Galas di kampung berkenaan ditenggelami air sedalam 15 meter.

Berikutan itu, penduduk kampung terbabit terpaksa menyeberangi sungai itu menggunakan bot sejak tiga hari lalu.

Di KANGAR, paras air di beberapa kawasan rendah sekitar bandar ini terus meningkat menyebabkan seramai 247 orang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan banjir di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Tugas-tugas Khas Perlis, Mansor Jusoh berkata, kebanyakan mangsa yang mula dipindahkan petang semalam ialah dari kawasan Taman Intan, Repoh Selatan, Tok Kandang dan Kampung Bakau.

Seramai 141 orang ditempatkan di dewan orang ramai Taman Intan, 78 orang di surau kampung Tok Kandang dan 28 orang di Sekolah Kebangsaan seri Perlis, katanya.

Di KUALA TERENGGANU, keadaan banjir di negeri itu pulih sepenuhnya apabila semua mangsa dibenar pulang ke rumah masing-masing semalam. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.