Manoharan: Bajet 2010 Selangor Patut Lebih Bela Kaum India

SHAH ALAM, 12 Nov - ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan menyatakan kekesalannya apabila Bajet 2010 Selangor kali ini tidak mempunyai program khas untuk kaum India di negeri ini.

Manoharan mencadangkan agar mana-mana sekolah Tamil di Selangor diperuntukkan 6 ekar tanah bagi tujuan pembangunan sekolah tersebut.

“Saya juga cadangkan agar kerajaan negeri Selangor memberi sekurang-kurangnya 6 ekar tanah kepada semua sekolah-sekolah Tamil yang tidak mempunyai tanah.

“Bajet 2010 yang dibentangkan oleh YAB Dato Menteri Besar amat mengecewakan, menyakitkan saya sebab tidak ada satu ringgit pun ataupun tidak ada perkataan kaum India disebut di dalam Bajet 2010”, katanya.

ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan berkata demikian semasa Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ia kerana kemenangan besar Pakatan Rakyat di Selangor pada Pilihanraya Umum Mac lalu disumbangkan oleh kaum India yang mahukan perubahan ekonominya.

Menurutnya, kaum India merupakan kaum yang termiskin di negeri ini yang memerlukan pembelaan dan perhatian sewajarnya dan inilah masa yang tepat untuk membalas budi mereka.

“Negeri Selangor tidak memberi sebarang penghargaan, tidak memberi sebarang nilai, tidak memberi 1 ringgit pun dalam bajet bagi kaum India. Saya cadangkan agar kerajaan negeri Selangor menubuhkan satu Jabatan Hal Ehwal Orang-orang India dengan sebarapa cepat yang boleh, supaya kita tak akan hilang sokongan India yang ada di negeri Selangor”, tambahnya lagi.

Selain itu, Manoharan turut mencadangkan agar kerajaan negeri memberi tanah kepada semua kuil tidak memiliki tanah untuk pembangunan tempat ibadat dan menyediakan tapak perkuburan kaum India di Selangor.

Ini bertujuan mengelakkan berlakunya perobohan kuil sewenang-wenangnya berikutan banyak kes seperti ini berlaku di Selangor sejak akhir-akhir ini. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.