Nik Aziz Janji Habuan 'Paling Istimewa' Jika Kelantan Juarai Piala Malaysia

KOTA BAHARU, 3 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjanjikan sesuatu "paling istimewa" kepada pemain jika Kelantan muncul juara Piala Malaysia mengalahkan Negeri Sembilan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Beliau berkata ganjaran itu akan diumumkan oleh Anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini esok.

"Saya sudah serahkan mandat kepada YB Taki untuk mengumumkan hadiah ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Kuala Lumpur malam Isnin.

Menteri Besar Kelantan itu berada di ibu negara itu untuk menghadiri mesyuarat Majlis Raja-raja.

Nik Aziz hanya membayangkan bahawa hadiah itu sebagai "paling istimewa" yang belum pernah dibuat oleh negeri-negeri lain.

Kelantan belum pernah menjuarai piala berprestij itu walaupun pernah memasuki perlawanan akhir pada 1970 tetapi kalah 2-0 kepada Perak.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.