Red Warriors popular, 'Jang' tetap gah


JAGOAN Piala Malaysia (dari kiri) Rezal Zambery (kapten Negeri Sembilan), Wan Jamak, Sathianathan dan Indra Putra Mahayuddin (kapten Kelantan) dipertemukan di Bukit Jalil, petang semalam. Malam ini jadi penentu siapa berhak membawa pulang Piala Malaysia musim 2009.

Anak buah Sathia mampu penuhi impian; Skuad Wan Jamak kuat mental, fizikal

DI bahu Kelantan, ibarat terpikul segunung harapan ketika riak ketenangan membuai Negeri Sembilan dalam persiapan terakhir kedua-dua barisan sebelum melangkah masuk ke medan pertentangan final Piala Malaysia di Stadium Nasional, malam nanti.

Namun, andai ada cuba menerbitkan bimbang, betapa ‘Red Warriors’ mungkin tumbang tanpa upaya memikul beban harapan ketika sang ‘Rusa’ bakal tenggelam dibuai arus, B Sathianathan serta Wan Jamak Wan Hassan selaku pengendali, bingkas menafikannya.

“Paling penting ialah kekuatan mental. Memang harapan amat tinggi, tetapi pemain bukan asing dengan semua itu. Sejak suku akhir lagi, mereka sedar betapa ramai pihak mengharapkan sesuatu, tetapi setakat ini, mereka berjaya mengharunginya,” kata Sathia.

Wan Jamak, pengendali Negeri Sembilan juga punya pendapat hampir sama.

“Di pertengahan Liga Super lalu, pemain muda mungkin terbawa-bawa kepercayaan mereka sudah bagus dan itu mengakibatkan penurunan. Tetapi kini, mereka sudah buktikan kepada saya bahawa mereka mampu tangani suasana getir, punya mentaliti kuat. Ini yang saya mahukan,” tegasnya.

Disorot kembali lorekan sejarah, penantian kedua-dua pasukan jelas sudah lama. Negeri Sembilan mungkin sedikit lega kerana pernah mendakap piala buruan, 61 tahun lalu, ketika Kelantan belum pernah berpeluang mengucupnya.

Tetapi itu semua itu cerita lama - sama seperti rekod kelebihan Negeri Sembilan yang tiga kali menundukkan Kelantan daripada empat pertemuan musim ini - yang diakui tidak akan punya sebarang makna apabila tiupan wisel permulaan kedengaran, malam nanti.

“Itu dulu. Bezanya kini ialah ini perlawanan akhir. Kedua-dua pasukan perlu menang. Kekuatan Kelantan ialah penyokong mereka yang memberikan semangat kepada pemain-pemain untuk beraksi dengan baik. Mereka juga ada Indra (Putra Mahayuddin) selaku pemain bernilai. Tetapi bola sepak adalah 11 pemain,” tegas Wan Jamak.

“Apa yang penting ialah kedua-dua pasukan bagus dan berhak beraksi di final. Semua orang mahu menang. Saya tidak nampak mengapa kami perlu bermula sebagai pilihan. Kerana kami pernah sebelumnya dianggap tidak langsung punya peluang,” kata Sathia.

Segala itu tambah merencahkan resipi pertentangan kemuncak Piala Malaysia yang penuh janji-janji bakal amat mengghairahkan.

No comments

Powered by Blogger.