Gerakan Islam, Parti Politik, Apa Tu?




Berbanyak maaf saya pohon kepada sahabat dan rakan karib saya, Ust Nasruddin Hassan kerana kiriman ini sekali lagi akan menyentuh mengenai ‘fikrah’nya.

Saya bukan ingin menyanggahinya secara membuta-buta tuli apatah lagi membabi-buta, tetapi saya sekadar ingin menghadamkan kefahaman saya sendiri berhubung dengan apa yang ditulisnya di dalam blognya.

Rujuk tulisannya berjudul ‘Jangan rosakkan jamaah’ – di sini.

Ada beberapa para di dalam tulisannya yang saya sukar hadami. Antaranya para bil 2 dan 6:

--------------------------------------

2. Justeru itu , Jamaah ini [ PAS ] mesti dibaca dan dihayati sebagai sebuah Gerakan Islam bukan sebuah parti politik semata - mata . Meskipun ia menyertai pilihanraya dan menerima sistem demokrasi yang tidak bercanggahan dengan syariat , namun ia hanya sebahagian dari tugas besar dan utama sebagai sebuah Gerakan Islam.

6. Menjenamakan PAS sebagai sebuah parti politik bukan lagi sebagai sebuah Gerakan Islam , sebenarnya merupakan satu episod untuk memudahkan usaha segelintir pihak yang kini sedang bekerja keras mahu mengikis penghayatan terhadap prinsip wala' , thiqah , ukhuwwah , dengar dan taat kepada arahan jamaah di dalam PAS .

-----------------------------------

Mengapa PAS perlu jadi dua dalam satu iaitu gerakan Islam dan parti politik? Kalau PAS jadi parti politik semata-mata, PAS bukan gerakan Islam. Kalau PAS adalah gerakan Islam, PAS tidak boleh menumpukan kerja-kerja parti politik semata-mata?

Kerja gerakan Islam ialah kerja tarbiah, perkaderan, amal tarbawi, elemen-elemen spiritual sementara kerja-kerja pilihanraya pula adalah kerja parti politik. PAS perlu jadi parti politik dan gerakan Islam sebab PAS melakukan kedua-duanya sekali. Macam mana?

Perlukah perjuangan PAS dijuzuk-juzukkan? Ini perjuangan PAS sebagai gerakan Islam dan ini pula perjuangan PAS sebagai parti politik. Di masjid PAS jadi gerakan Islam, di kotak undi PAS jadi parti politik.

Adakah gerakan Islam tidak boleh buat kerja politik dan parti politik tidak boleh buat kerja gerakan Islam? Sebab itu PAS perlu jadi kedua-duanya sekali, gerakan Islam dan parti politik untuk membolehkannya membuat kedua-dua kerja.

Tugas utama gerakan Islam ialah menyertai gerakan politik demokrasi. Tugas utama PAS sebagai parti politik pula apa dia?

Menjenamakan PAS sebagai sebuah parti politik itu bagaimana pula? Adakah parti politik perlu menjadi gerakan Islam untuk melaksanakan kerja-kerja tarbiah? Dan, adakah pula gerakan Islam perlu melakukan kerja-kerja politik untuk menjadi parti politik?

Maafkan saya sebab saya keliru dengan fikrah tersebut.

Saya tidak pasti, ‘dualisme’ ini, PAS sebagai gerakan Islam dan parti politik adalah cedokan daripada fikrah mana, dalam keadaan saya tidaklah ‘bangang’ sangat dengan buku-buku tokoh Ikhwan walau pun tidak semuanya saya telaah.

Saya fikir kita perlu hentikan kekeliruan ini. Mungkin ada disebutkan dalam buku-buku tokoh Ikhwan bahawa gerakan Islam bukan gerakan politik, tetapi itu untuk realiti Ikhwan di Mesir ketika Ikhwan belum menyertai pilihanraya.

Fikrah sebegitu adalah relevan untuk tempat, masa dan realiti itu. Realiti PAS kini bukan realiti Ikhwan pada tahun 1970 an.

PAS bukan bergerak di Mesir tetapi di Malaysia dan PAS tidak pernah berhadapan dengan realiti yang dihadapi Ikhwan di Mesir. Tidak pernah PAS tidak masuk pilihanraya. Malaysia bukan Mesir.

Hanya kebelakangan ini sahaja Ikhwan Mesir menyertai pilihanraya. Sebelumnya tidak. Sistem perkaderan Ikhwan, tarbiahnya, keahliannya adalah jauh berbeza dengan PAS. Apa yang Ikhwan buat adalah betul untuk realiti yang dihadapinya.

Tetapi, PAS bukan Ikhwan.

Kini PAS adalah parti terbuka, berbilang bangsa bahkan akan menjadi parti berbilang agama sekiranya wujud Dewan Penyokong PAS. Ketika itu bentuk PAS sebagai gerakan Islam pula bagaimana?

Saya katakan, mari kita mempermudahkan urusan. Kita kata sahaja begini, PAS adalah parti Islam. Full stop. Saya ulang, PAS ADALAH PARTI ISLAM.

Usah dikelirukan dengan sekejap gerakan Islam, sekejap parti politik. Ini kerja gerakan Islam, ini kerja parti politik. PAS adalah gerakan Islam dan parti politik, perlu kedua-dua sekali.

Tak boleh jadi parti politik saja, kena jadi gerakan Islam sama. Tak boleh jadi gerakan Islam saja, kena jadi parti politik sama sebab nak masuk pilihanraya. Aduh…letihlah begitu.

PAS ADALAH PARTI ISLAM. FULL STOP.

Kita boleh buat semua kerja sebab PAS adalah parti Islam. Nama pun Parti Islam Semalaysia.

Kerja politik, dakwah, tarbiah, panjat pokok, gantung poster, kacau bubur, ceramah, usrah, qiamullail, qunut nazilah, debat, wacana, forum, diskusi, dialog… apa-apa lagilah, asalkan untuk mendaulatkan Islam boleh dibuat kerana PAS adalah parti Islam. Bukankah semua kerja itu adalah kerja Islam?

Saya teringat cerita seorang guru Tauhid yang mengajar saudara baru mengenai sifat Allah. Katanya, “Allah itu ada, lawannya tiada. Wajib ada, mustahil tiada. Dalil adanya Allah, adanya alam ini.”

Saudara baru itu keliru dan berkata, “Cakap betul-betullah, ada atau tiada. Sekejap ada, sekejap tiada, Sekejap pula, ada mau lawan sama tiada. Wajib, dalil, mustahil … itu apa? Cakap betul, ada atau tiada?”

Permudahkanlah, jangan menyusahkan. Bukankah itu ajaran agama kita?

http://bongkarsauh.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.