Masalah Kalimah ALLAH Di Kelantan Dirungkai

Kontroversi isu penggunaan kalimah Allah, Kelantan dilihat sebagai berjaya membuktikan kepada umum bahawa pertikaian isu berkenaan dapat dirungkai melalui majlis diskusi seperti forum atau seminar.

Bukti itu dapat dilihat apabila Tabung Amanah Tok Kenali dan NGO Kelantan berjaya menampilkan tiga ahli panel mewakili tiga agama dalam Seminar Pemikiran Islam Semasa (Pemakaian kalimah Allah) yang diadakan di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) semalam dengan dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Saifudin Nasution Ismail.

Barisan ahli panel terdiri daripada Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Dr Johari Mat; Editor akhbar Herald, Lawrence Andrew dan dan Loo Coo Ciang mewakili penganut Buddha.

Johari yang lebih menekan penggunaan kalimah Allah dari sudut ilmiah tidak menafi secara total penggunaan kalimah itu kepada penganut agama selain Islam, namun etikanya perlu diteliti secara bijaksana supaya tidak menimbulkan sebarang keraguan yang boleh menimbulkan sensitiviti agama.

“Dalam al-Quran menyebut sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Maka sekali gus secara praktikalnya kalimah tersebut merupakan satu kalimah suci bagi agama Islam.

“Justeru pada asasnya penganut Islam khususnya berhak melihat sejauh mana ketelusan kalimah itu apabila ia diguna pakai oleh agama-agama lain,” katanya.

Katanya, tercetusnya kontroversi penggunaan kalimah Allah adalah berpunca daripada kurangnya tasawur mengenai Islam.

Malah kerana kurangnya tasawur itu juga membuatkan seseorang atau masyarakat tiada daya kefahaman yang mantap tatkala membicarakan Islam dalam suasana yang lebih terbuka dan kondusif.

Andrew tidak menolak hujah Johari sebaliknya terus mempertahankan budaya penggunaan kalimah itu dalam penganut agama Kristian sejak ratusan tahun dulu.

Katanya pertikaian isu tersebut sehingga mencetuskan kontroversi lebih menjurus kepada unsur politik.

“Penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah di berpuluh-puluh buah negara sejak lama dulu, tidak ada sebarang pertikaian. Kita bawa kes ini ke mahkamah bukan kerana ada niat lain, tetapi kita hanya hendak menuntut budaya yang mana kita telah menggunakan kalimah Allah sejak beratus tahun dulu lagi.

“Tetapi hairannya kenapa penggunaan kalimah ini dikecualikan kepada negeri-negeri tertentu sebagaimana dinyatakan Datuk Seri Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri). Nampak sangat politik dalam hal ini,” jelasnya.

Penggunaan kalimah Allah menjadi kontroversi apabila keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah itu untuk tujuan terbitan akhbar mingguan The Herald.

Keputusan itu dipertikai sehingga menuntut Kementerian Dalam Negeri memfailkan tuntutan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Manakala Loo yang dilihat tidak begitu menonjol dalam hujahnya yang agak mendatar hanya menyatakan sokongan serta hormat kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana dasar terbukanya tidak pernah menolak prinsip agama-agama lain dalam amalan beragama.

“Kita pernah mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Tuan Guru Nik Aziz dalam pelbagai isu termasuk isu agama.

"Kita akui beliau seorang yang memiliki ilmu tinggi dalam bidang agama.

“Kita sangat menghormati ketokohannya mengiktiraf pelbagai agama yang ada dalam negara ini. Sebab itu tidak aneh bagi kami jika kontroversi ini tidak bising di Kelantan.

“Kerana kebijaksanaan pemimpinnya yang sentiasa memberi bimbingan kepada rakyatnya dengan ilmu-ilmu keagamaan yang cukup praktikal,” katanya.

Sementara itu Nik Aziz ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup forum tersebut berkata kerajaan negeri dengan dasar Membangun Bersama Islam sentiasa mengamalkan toleransi dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum.

“Ia sesuai dengan amalan agama Islam sendiri yang berteraskan nilai-nilai sejagat yang boleh diterima oleh semua kaum tanpa mengira warna kulit, budaya dan adat resam.

“Maka kerajaan negeri amat komited di dalam melaksanakan pentadbiran ke arah perdamaian, ketenangan dan kesejahteraan untuk semua kaum dan agama,” ucapnya.

Malaysian Insider

*terima kasih atas kunjungan.bantu lah saya dengan hanya klik di sini. setiap klik membantu blog ini berkembang.

No comments

Powered by Blogger.