Rosaknya anak bangsa kita angkara siapa?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiu8KX_0EE4oV6OKDfnPlu4ZCAm_jNUXArTqKdKi4GCtReq7Cx-9QbbkijzPoe6NwywkbNc4tQxuhgZ8z1bP8IkGOjcD-N0ij2AW7zHj_fSeXf_ED3-YtiKfXjUXUazB9UVwRDzGy8TQ473/s400/girlrokok.jpg

Satu laporan akhbar semalam, segelintir remaja telah menjadikan panggung wayang di sekitar bandar raya Kuching sebagai sarang maksiat bersama pasangan masing-masing.

Bukan sahaja kegiatan tidak senonoh remaja berasmara, bahkan kegiatan jenayah termasuk pengedaran dadah juga berlaku di panggung wayang.

Tinjauan mendapati panggung wayang berkenaan memang menjadi pilihan ramai remaja termasuk pelajar sekolah kerana lokasinya di tengah kawasan bandar, selain berdekatan pusat membeli-belah.

Menurut laporan akhbar, segelintir remaja berselindung di sebalik aktiviti ini dengan melakukan kegiatan maksiat seperti berpelukan, berciuman serta melakukan aksi panas yang lain.

Lebih mengejutkan, ada juga di kalangan remaja lelaki yang datang secara berkumpulan turut membawa minuman keras yang dipercayai akan ‘diseludup’ ke dalam dewan menonton tanpa kebenaran kakitangan, lapor akhbar.

Bukan ingin melaporkan berita, tetapi bagaimana kegiatan sedemikian boleh berlaku dengan berleluasa tanpa segan silu. Masalah sosial yang semakin tenat berlaku dengan hebatnya. Bahkan anak-anak muda yang dianggap sebagai pelapis negara tanpa rasa bersalah melakukan pelbagai maksiat yang sudah pasti punah akhlaknya.

Namun siapa harus dipersalahkan? Hampir setiap hari ada sahaja laporan salah laku moral, maksiat, tangkapan khalwat, pengedaran dadah dan pelbagai jenayah yang melibatkan remaja dalam akhbar dan televisyen.

Menunjukkan kepada kita betapa tenatnya masalah sosial yang melanda negara kita sekarang. Namun siapa yang patut dipersalahkan?

Jika ingin menghalang kucing daripada makan ikan goreng, kita tutup ikan dengan tudung saji. Baharulah ikan itu tidak dimakan kucing. Jangan pula kita biarkan ikan di atas meja tanpa ditutup dengan hanya menghalau sementara kucing daripada makan ikan.

Jika hendak menghalang remaja daripada terus terjebak dalam masalah sosial yang semakin parah, janganlah teruskan pembinaan pawagam yang sudah semestinya tempat berlakunya maksiat dengan percampuran lelaki perempuan.

Hendak menghalang masalah sosial berleluasa melanda, janganlah pula meluluskan lesen-lesen tempat maksiat seperti kelab malam, pusat judi dan sebagainya.

Jika betul ingin membentuk remaja yang berakhlak, janganlah pula perbanyakkan program-program hiburan yang tiada arah tujuan.

Sejak akhir-akhir ini, pelbagai bentuk program hiburan diadakan. Demi keuntungan, penganjuran program reliti tv semakin bercambah bak cendawan tumbuh ketika hujan. Tidak kira untuk golongan dewasa, remaja, bahkan untuk kanak-kanak pun sudah diterapkan menjadi artis. Yang menyertainya bukan orang lain, bahkan anak Melayu kita yang kita sanjungi juga.

Kononnya kita ingin martabatkan kaum Melayu, tetapi dalam masa yang sama kita telah melenyapkan jati diri anak bangsa kita dengan program hiburan yang melalaikan. Sehingga sekarang, anak-anak muda kaum kita hanya bercita-cita ingin menjadi penyanyi dan penghibur semata-mata.

Adakah kita inginkan anak bangsa kita hanya berada di pentas nyanyian semata-mata menghiburkan hadirin? Tetapi yang maju ke depan bukan dari kalangan bangsa kita.

Usah sembang konon mempertahankan anak bangsa Melayu semata-mata, tetapi dalam masa sama merosakkan tunas-tunas bangsa Melayu. Kita perlu sedar, Melayu rosak bukan kerana bangsa lain namun kerana Melayu sendiri. Sebilangan pemimpin-pemimpin Melayu yang hanya sibuk mengumpul kekayaan peribadi hingga mengabaikan hak-hak tanggungjawab sebenarnya mereka.

Mereka hanya memberi limpahan hiburan yang berlebihan tanpa kawalan sehingga boleh merosak anak bangsa sendiri.

Namun program-program jati diri, agama dan pembentukan akhlak mulia dikesampingkan dan disekat. Ustaz-ustaz yang ingin menyampaikan ilmu-ilmu agama di masjid dan surau cuba disekat dan dihalang.

Kita sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan masa depan anak-anak kita, haruslah sedar dan insaf akan perihal ini. Kita harus bersatu demi masa depan anak kita. Jangan kita pertaruhkan masa depan mereka. Mari kita sama merubah fenomena masa depan gelap kepada cerah. Kita punya kuasa. Harapan kita selama ini terhadap penerima amanah (Umno-BN) hanya retorik semata-mata.

*terima kasih atas kunjungan.bantu lah saya dengan hanya klik di sini. setiap klik membantu blog ini berkembang.

No comments

Powered by Blogger.