Ke mana perginya berbilion-bilion ringgit peruntukan DEB?

Kita imbas kembali sejarah. Mengikut catatan sejarah sejak kurun ke-18 lagi, rata-rata orang Melayu hidup dalam keadaan daif dan naif. Dalam rekodnya, Hikayat Abdullah (1840), Abdullah Munsyi (1796-1854) telah membuat pemerhatian bahawa antara penyebab kemunduran bangsa Melayu ialah pemikiran masyarakat Melayu itu sendiri. Majoriti orang Melayu berpegangan kolot terhadap beberapa adat, kepercayaan dan budaya kerja.

Di antara ciri yang ada pada orang Melayu ketika itu adalah kepercayaan kepada hal-hal khurafat dan tahyul, sikap memandang ringan terhadap usaha membaiki mutu hidup dan sifat hasad dengki sesama bangsa. Namun Abdullah Munsyi tidak merakamkan kehidupan elit Melayu ketika itu yang pastinya lebih baik daripada majoriti orang Melayu.

Pada awal abad ke-20, lahir pula gerakan kesedaran membela nasib bangsa Melayu yang dipimpin oleh beberapa tokoh reformasi seperti Syed Syeikh Tahir Jalaludin Al-Azhari, Syeikh Ahmad'Al-Hadi, Abbas Mohd Taha dan Syeikh Mohd Kalim al-Kalali. Golongan yang dikenali sebagai 'Kaum Muda' ini lebih peka terhadap perubahan yang berlaku ketika itu. Mereka menyedari kemunduran umat Melayu bukan sahaja dalam soal sosioekonomi tetapi juga dalam kebekuan ilmu termasuk ilmu agama yang banyak diresapi dengan ajaran-ajaran khufarat yang merugikan mereka.

Ajaran agama yang diterima ketika itu tidak membuka minda ke arah inovasi, imajinasi dan kreativiti, laksana jumud. Sama halnya juga perbezaan atau mutu kehidupan elit Melayu tidak diperihalkan, namun dipercayai adalah lebih baik daripada rakyat terbanyak.

Seorang lagi pemerhati tajam dan kritis, Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Zaaba (1895-1973), seorang tokoh bahasa, budayawan dan cendekiawan Melayu juga telah melakarkan fenomena kemunduran orang Melayu. Dalam bukunya, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri (DBP, 1982). Zaaba telah melontarkan pesan, antara lain sikap orang Melayu yang tidak percaya kepada kebolehan diri, lemah cita-cita dan terlalu bergantung kepada orang lain serta berkiblatkan taklid buta tanpa memahami tuntutan Islam yang sebenarnya.

Pemerhatian oleh cendekiawan-cendekiawan pra-Merdeka yang orang Melayu hidup pada awal abad ke-20 adalah sangat mundur malah dalam semua bidang. Ketika itu orang Melayu masih dalam zaman penjajahan kolonial Inggeris. Pastinya juga kedudukan elit Melayu yang bekerjasama dengan pihak kolonial Inggeris adalah lebih baik dari majoriti rakyat jelata. Hakikat ini tidak juga diperihalkan dengan nyata.

Maka salah satu sentimen yang digunakan oleh elit Melayu yang insaf adalah isu kemiskinan, bangsa dan agama Melayu bagi membangkitkan kesedaran agar perhatian kepada mana-mana pentadbiran untuk memperbaiki kedudukan orang Melayu dapat direalisasikan.

Sentimen itu dalam frasa ’Ketuanan Melayu’ pada mulanya memang kelihatan murni dan menarik. Sentimen itu menghibau pentingnya kesatuan orang Melayu yang menjadi warga majoriti negara sering diguna bagi memperkukuhkan atau memantapkan lagi pemintaan atau tuntutan memperbaiki kedudukan orang Melayu meskipun data dan maklumat statistik tidak menunjukkan sepenuhnya yang majoriti orang Melayu memanfaatkan daripada program yang sepatutnya membantu mereka.

10 pelan Rancangan M'sia

Keadaan sosioekonomi orang Melayu yang lemah itu dapat perhatian formal selepas Merdeka dan apabila Dasar Ekonomi Melayu (DEB) diperkenalkan pada tahun 1970 susulan selepas terjadi peristiwa hitam pada tahun 1969. Dasar itu yang bergantung pada prestasi ekonomi yang membanggakan selama 20 tahun.

Berbilion-bilion ringgit telah diperuntukkan bagi menaikkan taraf sosioekonomi orang Melayu di seluruh negara dalam semua bidang. DEB diteruskan dalam bentuk baru, Dasar Pembangunan Negara. Kesemuanya sehingga kini hampir 10 Pelan Rancangan Malaysia (PRM) telah dilaksanakan dengan niat baik bahawa kedudukan sosioekonomi negara dapat ditingkatkan, tapi benarkah begitu?

Pertama kita tidak boleh menafikan yang secara relatifnya jika dibandingkan kedudukan orang Melayu rata-rata sudah banyak berubah berbanding dengan zaman sebelum Merdeka, meskipun ramai lagi yang hidup daif di kawasan perdesaan Kelantan, Perlis, Kedah, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Simbol kemewahan kita pun tidak kurang ketara seperti adanya Menara Kembar, Putrajaya, KLIA, Formula One, lebuhraya, kapal selam, beratus-ratus masjid, beribu sekolah dan adanya Multi Media Super Corridor.

Tidak boleh dinafikan bahawa hampir 95% penjawat di sektor kerajaan (perkhidmatan awam dan ketenteraan) adalah dari suku kaum Melayu.

Bagaimanapun kewujudan simbol-simbol ini tidak boleh menutup hakikat bahawa ramai orang Melayu masih dalam kelompok berpendapatan rendah. Ramai yang masih menginap di rumah pangsa murah atau rumah buruk/usang yang mutunya amat menyedihkan.

Sementara kita membuat pemerhatian ini kita lihat kedudukan elit Melayu, yang paling nyata adalah dari kalangan pemimpin parti pemerintah, iatu Umno. Lihatlah misalnya rumah banglo setiap ketua bahagiannya, contoh klasik adalah istana milik Khir Toyo atau arwah Zakaria Derus di Kelang yang menelan belanja berjuta-juta ringgit.

Kita tidak tahu pula simpanan akaun bank semua pemimpin elit Melayu ini, tetapi boleh dispekulasikan sebagai mempunyai simpanan yang lebat dan lebih beratus-ratus kali ganda daripada rata-rata rakyat majoriti orang Melayu.

Kedua kita lihat kedudukan kek ekonomi orang Melayu. Pada tahun 1970 apabila DEB dilancarkan milik orang Melayu terhadap kek ekonomi negara adalah sebanyak 1.5%. Pada tahun 1985, 15 tahun berjalannya DEB, angka kek ekonomi naik kepada 3%.

Kerajaan telah mensasarkan ekuiti orang Melayu akan mencecah 30% pada tahun 1990. Hari ini angka kek ekonomi itu adalah 19%, tetapi 3% masih dimiliki oleh orang Melayu majoriti dan yang 16% lagi adalah dalam tangan GLC (syarikat milik kerajaan/ agensi amanah).

Ke mana perginya berbilion-bilion peruntukan yang telah dibuat dalam kesemua PRM itu?

Mazhab ’Ketuanan Melayu’

Mazhab ’Ketuanan Melayu’ akan menggegarkan orang Melayu yang orang Melayu masih ketinggalan jauh dari segi pegangan ekuiti dan tidak akan menyiasat siapa yang betul-betul memanfaatkan daripada kesemua PRM. Apakah elit orang Melayu yang menikmatinya atau rakyat majoriti Melayu?

Mazhab ’Ketuanan Melayu’ akan mengaitkatan kegagalan orang majoriti Melayu memiliki ekuiti yang setaraf bangsa lain adalah disebabkan oleh orang Cina, dan membakar isu ini bahawa peniaga Cinalah yang mengaut kek ekonomi negara selama ini.

Semburan fitnah ini boleh mengkaburkan mata kebanyakan orang Melayu akan hakikat sebenarnya.

Kebanyakan orang Melayu masih tidak upaya berfikir reflektif atau kritikal dan berdasarkan kepada fakta dan statistik. Apa yang pasti adalah peniaga-peniaga orang Cina yang berkerjasama dengan elit Melayu boleh menyalurkan peruntukan dari kesemua pelan Rancangan Malaysia itu ke poket mereka melalui pelbagai cara.

Dengan memainkan isu ini, iaitu orang Cina sedang menguasai ekonomi negara, masyarakat majoriti orang Melayu akan terpengaruh pada permukaan yang itu adalah benar belaka. Mereka yang masih naif dan daif atau tidak upaya membuat analisis akan terpedaya lalu memberi sokongan kepada elit yang masih menerajui pentadbiran negara dan melaksanakan program yang akhirnya akan menguntungkan mereka semula.

Sesiapa yang tidak setuju dengan fahaman ’Ketuanan Melayu’ akan disifatkan sebagai pengkhinat kepada perjuangan orang Melayu. Mereka dikira sudah seperti ’kacang lupakan kulit’ mereka adalah golongan Melayu yang lupa daratan, mudah terpengaruh dengan idealisme Barat yang tidak realistik dan mempunyai kepentingan politik sempit.

Majoriti orang Melayu hidup seadanya

Mazhab ’Ketuanan Melayu’ akan guna Artikel 153 perlembagaan negara bagi menjustifikasikan kebenaran perjuangan mereka. ”Keistimewaan untuk pribumi Melayu dan di Sabah dan Sarawak’ di samakan dengan ’hak istimewa orang Melayu’. Artikel 153 tidak menyatakan bahawa orang Melayu berhak kepada 30% ataupun 50% biasiswa yang diberikan oleh kerajaan setiap tahun. Apa yang wujud hanyalah ’kedudukan’ istimewa orang-orang Melayu dan juga kaum pribumi Sabah dan Sarawak. Secara amnya kedudukan istimewa itu tidak memberi apa-apa hak yang diiktiraf undang-undang kepada orang Melayu.

Tetapi kini sudah ada golongan yang sedar akan perkara ini. Badan-badan NGO, parti pembangkang dari DAP, PAS dan PKR sedang melancarkan program kempen dan pendidikannya yang segelintir elit Melayu yang sebenarnya meraih keuntungan besar daripada program yang kononnya hendak menaikkan taraf hidup orang Melayu.

Pada kertas dan semboyan ’Ketuanan Melayu’ nampak baik, tetapi hakikatnya selama 40 tahun melalui program pembangunan negara, kekayaan negara tidak ke mana perginya melainkan kepada elit orang Melayu dan juga para rakannya dari pelbagai bangsa lain.

Majoriti orang Melayu semakin sedar meskipun masih belum meluas lagi yang golongan yang meraih kenikmatan kekayaan negara adalah segelintir elit Melayu, bukannya orang Melayu majoriti. Gambaran itu bak mirip zaman penjajahan tetapi ada sedikit perbezaan. Dulu tiada Internet, Twitter, e-mel atau Facebook.

Yang nyata sekali ada segelintir Melayu bilioner/jutawan sementara majoriti orang Melayu hidup seada saja, boleh makan tiga kali sehari, ada tempat berteduh, boleh ke sekolah atau masjid melalui jalan berturap, mempunyai kereta dari jenama Proton atau Perodua, masih banyak berhutang, mendapat subsidi, dapat khidmat perubatan tapi tak sama seperti yang diperolehi oleh segelintir elit Melayu yang hidup serba kaya raya yang melimpah-ruah.

Elit Melayu yang kaya raya itu mengguna ’Ketuanan Melayu’ untuk meneruskan agenda mereka dan majoriti orang Melayu masih tidak ke mana, buktinya ekuiti (hartanah, saham, pelaburan, simpanan dan sebagainya) yang dimiliki majoriti orang Melayu masih 3% sejak 53 tahun Merdeka.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.