PERUTUSAN KEMERDEKAAN MALAYSIA KALI KE-53 TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM, MENTERI BESAR

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Syukur kepada Tuhan Maha Pencipta untuk setiap detik peluang kita menjadikan situasi diri dan persekitaran kita lebih baik daripada sebelumnya.Kita mempunyai banyak pilihan perspektif untuk melihat masa lalu. Kemerdekaan sebagai satu detik yang bermakna tentulah mempunyai kerencaman persepektifnya yang tersendiri.

Negara kita mula menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, tarikh rasmi yang terus disambut sehingga kini. Semasa pembentukan Malaysia dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura, tarikh ini juga telah dipilih untuk perasmiannya sebelum masalah teknikal menjadikannya tertunda kepada 16 September 1963, kini dikenal sebagai Hari Malaysia.

Kita mesti berani memperakui kewujudan pelbagai bentuk usaha memerdekakan negara, sama ada kita bersetuju atau tidak dengan cita-cita dan kaedah perjuangan yang dibawa. Kemerdekaan adalah cita-cita besar rakyat pada zaman itu. Terlepas apa juga perbezaan dalam realiti jamak sosio-masyarakat kita, Merdeka adalah lambang sebuah keberanian kita untuk mengambil tanggungjawab terhadap negara sendiri.

Bukan sekadar itu, sejarah jelas mencatatkan bahawa Merdeka terhasil daripada kesedaran semua negeri-negeri dengan kedaulatannya tersendiri untuk bersatu di bawah satu Perlembagaan bersama yang terkandung hak kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam menjalankan tanggungjawab kepada rakyat. Perlembagaan inilah yang bertindak sebagai dokumen penyatu.

Justeru, marilah kita sentiasa mengingati bahawa ianya dibentuk berasaskan semangat Pemahsyuran Kemerdekaan iaitu berteraskan prinsip kebebasan dan keadilan. Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat sentiasa berusaha menegaskan semula asas ini yang sedikit sebanyak kabur dalam persaingan politik kepartian di Malaysia.

Sempena sambutan kemerdekaan kali ini, marilah kita merenung semula makna diri Merdeka serta berikrar untuk sedaya upaya memperbaiki diri bagi menjulang maruah negara. Sejarah sudah cukup membentangkan banyak pengalaman tentang jatuh bangun peradaban dan ketamadunan untuk kita jadikan teladan bersama.

Jelasnya, ia tidak ada pada semangat yang membabi buta, tetapi ada pada keinginan kuat manusia untuk menegakkan kemulian insan melalui jaminan kebebasan dan daya untuk mencapai keadilan. Inilah sebuah negara dan masyarakat madani yang harus kita laksanakan.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-53.


Sekretariat Akhbar
Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor
Tel: 03 5544 7452 Fax: 03 5510 9686


[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.