Mahfuz: Negara perlu bebas budaya politik perkauman

http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/2010/08/31/mahfuz-merdeka-one-aug31.jpg

Oleh G. Manimaran


Mahfuz yang lahir seminggu sebelum negara merdeka mengakui dapat ‘merasai’ persekitaran perjuangan kemerdekaan ketika masih dalam kandungan ibu. — Gambar oleh Jack Ooi
KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Tujuh hari yang lalu Datuk Mahfuz Omar dikejutkan dengan sambutan ulang tahun hari jadi yang ke-53. Hari ini, beliau berkongsi kegembiraan dan keriangan bersama ribuan rakyat yang seusia dengan negara pada hari ini.

Pada 25 Ogos lalu beliau bertukar-tukar mesej bersama Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan Al-Tantawi menerusi Twitter, lalu mendedahkan yang Mahfuz juga lahir pada tahun negara mencapai kemerdekaan.

Bagi keluarga Mahfuz yang mempunyai lapan adik-beradik kelahiran menggandakan kegembiraan kerana negara menyambut kemerdekaan seminggu kemudian.

Bagaimanapun Mahfuz, yang kelihatan sebagai pemimpin PAS yang moden dengan rambut putih, mengakui bahawa di peringkat awal beliau tidak “kisah” dengan tahun kelahiran.

“Sebenarnya kita jarang menyambut hari kelahiran, tetapi baru-baru ini kawan-kawan kita mengesan hari kelahiran saya menerusi rangkaian Facebook, dan mereka mengadakan jamuan, saya pun bertukar mesej dengan Ustaz Nasrudin... ini kelebihan ICT,” kata Mahfuz ketika berkongsi perjalanan 53 tahunnya, yang seusia dengan dengan perjalanan negara.

Menurut Mahfuz, apa yang penting bagi dirinya ialah mengisi makna kemerdekaan.

Lebih-lebih kata anak kelahiran Kedah ini, ia menjadi penting selaku seorang ahli politik pada masa sekarang.

“Saya dapat merasakan persekitaran perjuangan mendapatkan kemerdekaan ketika masih berada dalam kandungan selama sembilan bulan,” kata Mahfuz secara dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider.

Oleh itu kata Naib Presiden PAS ini, “saya bersyukur lahir pada tahun kemerdekaan.”

“Yang penting ialah mengisi kemerdekaan, ini yang sangat penting berbanding kita lahir pada tahun 1957,” kata pemimpin ini yang melihatknya sebagai satu tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

Bertolak dari keutamaan tanggungjawab itu, jelas beliau, generasi dahulu memperjuangkan kemerdekaan dengan harapan tidak mahu kekayaan dikaut oleh penjajah.

“Mereka halau penjajah demi rakyat negara ini,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini.

“Tetapi pada hari ini ada pihak yang hanya memunggah kekayaan untuk kaum kerabat sendiri, untuk kepentingan kroni mereka,” katanya yang lazim menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri.

Mahfuz di sebalik kad pengenalan menandakan Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Pokok Sena juga seusia dengan perjalanan negara.
“Itu sebab perjuangan kemerdekaan yang sebenarnya... kita perlu mengisi dengan pengertian yang lebih baik,” kata beliau yang pernah mengetuai Dewan Pemuda PAS pusat sebelum dipilih sebagai Naib Presiden tahun lalu.

Ketika ditanya sama ada kelahiran pada tahun merdeka menjadi faktor terlibat dalam politik, Mahfuz berkata, “tidak.”

“Ia bukan satu-satunya faktor... ada banyak sebab, tahun 1957 ini secara kebetulan sahaja” kata beliau.

“Persekitaran yang ada, kesedaran tentang kepincangan yang berlaku, tidak peduli dalam hal-hal yang berkaitan dengan Islam, tidak memperjuangkan dasar perjuangan Islam.

“Itu sebab saya menceburi politik,” kata Mahfuz yang menyertai politik pada 1980-an.

“Saya sentiasa berfikir bagaimana generasi awal berada, menentang penjajah,” katanya.

“Maknanya itu yang signifikan bagi saya,” kata Pengerusi Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) ini yang pernah menganjurkan kembara kemerdekaan peringkat PAS ketika memegang jawatan ketua penerangan PAS.

Program itu diadakan di seluruh negara untuk mengetengahkan nama-nama pejuang kemerdekaan yang tenggelam dan tidak dibawa ke arus perdana.

Kata Mahfuz, selaku pemimpin masyarakat menerusi pembabitan dalam politik beliau mahu memperjuangkan erti kemerdekaan dengan mewujudkan masyarakat yang integriti.

“Negara yang berintegriti, bebas rasuah dan penyelewengan bermula daripada rakyat yang berintegriti,” katanya.

Apakah yang hendak beliau lakukan sebagai seorang warganegara ahli politik, Mahfuz berkata, fikirannya masih dihantui dengan budaya politik perkauman yang cuba dibawa oleh sesetengah pihak khususnya Umno-BN.

“Kerajaan masih lagi membawa, memainkan budaya perkauman.

“Jadi ini yang menjadi tanggungjawab saya untuk melawan, untuk menghakis budaya ini supaya negara aman,” katanya.

“Kita perlu melahirkan masyarakat yang tidak bergantung pada pihak lain, mahukan rakyat yang boleh berdikari, mahu jadikan generasi yang bebas dalam segala bidang, berfikiran terbuka dan bebas,” kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.