KENYATAAN AKHBAR : SELESAIKAN PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR DI SELANGOR BARU LAKSANAKAN PROJEK LANGAT 2

KENYATAAN AKHBAR

31 OGOS 2010

SELESAIKAN PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR DI SELANGOR BARU LAKSANAKAN PROJEK LANGAT 2

SHAH ALAM, 31 Ogos - Kerajaan Selangor hanya akan meneruskan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) selepas perbincangan penstrukturan semula industri air dengan pemegang konsesi swasta dan agensi persekutuan diselesaikan dengan baik.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri tidak pernah membantah projek Langat 2, tetapi mempertikaikan mengapa Kerajaan Pusat memberi keutamaan terhadap projek tersebut.

“Kita menerima Projek Langat 2, tetapi ia tidak perlu dibuat dengan terburu-buru. Sekarang Kerajaan negeri mahu menyelesaikan isu penstrukturan semula indusri perkhidmatan air di Selangor.

“Kita menegaskan sekali lagi bahawa perlu memberi keutamaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air berbanding projek Langat 2,” katanya.

Menteri Besar mengulas laporan akhbar yang memetik Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim telah memberi persetujuannya pada mesyuarat Majlis Sumber Air Negara ke-5 di Putrajaya, semalam.

Menteri Besar hairan bagaimana Muhyiddin mengulas bahawa Selangor telah memberikan izin untuk projek rawatan air Langat 2 dan menggesa agar Timbalan Perdana Menteri menahan dirinya daripada membuat andaian pada masa depan.

“Kita akan meneruskan rundingan untuk menyelesaikan isu penstrukturan semula industri perkhidmatan air yang buntu sejak tahun lalu. Kita mahukan perjanjian lebih baik, perkhidmatan lebih baik dan harga lebih baik untuk rakyat – itulah matlamat kami,” kata Tan Sri Abdul Khalid.

SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

No comments

Powered by Blogger.