Jalur Gemilang lambang patriotisme — Lee Lam Thye

26 OGOS — Sambutan bulan kemerdekaan telah bermula pada minggu lalu. Inilah masanya untuk rakyat Malaysia berbilang bangsa memaparkan semangat patriotik dan kasih sayang terhadap negara.

Bukan dengan cara paksaan, tetapi secara sukarela menyambut hari kemerdekaan sebagai negara yang merdeka dan berdaulat, apatah lagi negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-53.

Pada ketika negara merayakan sambutan kemerdekaan, inilah masa yang sesuai untuk seluruh rakyat menunjukkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara dengan perasaan penuh bangga dan ikhlas.

Menyemai kebanggaan pada bendera merupakan salah satu ciri penting dalam pembinaan negara. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan bendera kebangsaan kerana ia merupakan lambang kemegahan dan patriotisme yang dapat membantu usaha-usaha ke arah mempromosikan dan mengukuhkan lagi proses pembinaan negara dalam sebuah negara kita yang berbilang kaum, agama dan budaya ini.

Jalur Gemilang melambangkan kesetiaan, kesatuan dan patriotisme. Jadi, penting untuk kita menanam semangat dan nilai-nilai nasionalisme serta patriotisme ini dalam kalangan generasi muda.

Salah satu cara untuk menjadikan generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme adalah mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera.

Menganjurkan kempen “Cintakan Bendera Kita” di sekolah dan dalam kalangan anak-anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya. Ia tidak seharusnya diadakan hanya sempena sambutan hari kemerdekaan, malah sepanjang tahun.

Bagi generasi muda, hari kebangsaan membawa ingatan kegigihan dan perjuangan menentang penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan. Ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang telah dicapai selama ini.

Agak membimbangkan apabila kaji selidik yang dijalankan oleh akhbar tempatan tidak lama dulu menunjukkan walaupun kebanyakan generasi muda terutama yang lahir selepas 1957 mempunyai semangat patriotik, namun mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.

Bagi mereka, hari kemerdekaan hanya satu lagi cuti am iaitu hari di mana mereka berpeluang bersantai dan beriadah. Hanya segelintir benar-benar memahami maksud hari kemerdekaan ini.

Oleh itu, lebih banyak usaha harus dilakukan untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih peka, menghargai serta menghayati erti sebenar kemerdekaan.

Setelah memperkatakan mengenai bendera kebangsaan dan pentingnya ia sebagai simbol negara, mengibar Jalur Gemilang bukanlah satu-satunya cara menunjukkan semangat patriotik kepada negara.

Rakyat Malaysia boleh memaparkan semangat patriotik mereka dalam kehidupan seharian, dalam pemikiran, percakapan dan tindakan bagi membela dan mempertahankan kepentingan negara.

Rakyat Malaysia juga boleh mempamerkan semangat patriotik mereka dengan menyumbangkan pendapat dalam apa yang mereka rasakan baik dan sihat untuk negara.

Menyatakan perasaan melalui saluran yang betul merupakan satu hak yang seharusnya diamalkan oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik, yang cintakan negara dan inginkan yang terbaik untuk negara.

Dalam pada kita memperingati 53 tahun ulang tahun kemerdekaan negara, kita hendaklah mengimbas kembali segala usaha kita dalam membina negara pada zaman silam dan bersedia mengharungi cabaran-cabaran yang datang.

Rakyat Malaysia yang mempunyai latar belakang bangsa dan agama berbeza seharusnya memperbaharui azam mereka untuk membina sebuah negara yang harmoni, bersatu padu dan progresif.

Sambutan hari kemerdekaan sepatutnya menjadi tenaga perpaduan yang boleh membawa rakyat berbilang kaum bersatu padu ke arah satu matlamat sekali gus merealisasikan gagasan 1Malaysia.

Setelah mencapai kemerdekaan selama 53 tahun, kita tidak mempunyai pilihan lain kecuali mesti terus berusaha ke arah mencapai gagasan 1 Malaysia dengan persefahaman dan perkongsian matlamat seluruh rakyat Malaysia, tanpa melihat kepada perbezaan agama, kaum dan budaya untuk menikmati hidup yang harmoni di bumi Malaysia.

Gagasan 1 Malaysia seharusnya mempunyai elemen utama seperti persefahaman yang sama, hormat menghormati serta kepercayaan di antara satu sama lain di dalam masyarakat majmuk, di samping menjunjung Perlembagaan dan Rukun Negara.

Marilah kita memastikan setiap rakyat Malaysia berganding bahu bagi membina perpaduan melalui penghayatan gagasan 1 Malaysia. Kita harus mula menyuarakan dalam satu suara yang merangkumi semua kumpulan etnik.

Marilah juga kita memberikan komitmen dalam mempromosikan gagasan 1 Malaysia berpaksikan kepada Perlembagaan dan Rukun Negara tanpa mengira kaum, warna kulit atau fahaman politik. — Utusan Malaysia

* Tan Sri Lee Lam Thye ialah Pemegang Amanah Yayasan 1 Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.