POLITIK YANG MEMUALKAN

Dalam tulisan terdahulu, saya menulis mengenai “Prestasi Anggota Kabinet.” Dalam tulisan itu, saya merumuskan bahagian pertama hasil kajian kepimpinan negara dan politik; secara khusus melihat pendapat responden mengenai kepimpinan Perdana Menteri, prestasi menteri dan cara anggota kabinet menguruskan isu dalam negara.

Saya teruskan ke bahagian kedua, melihat persepsi responden mengenai pemimpin politik secara keseluruhannya, perubahan dalam UMNO, kemampuan Pakatan Rakyat memenuhi harapan pengundi, dan siapakah yang dijangka oleh responden bakal membentuk kerajaan persekutuan dalam PRU13 nanti.

Kajian ini menunjukkan lebih separuh (51.6%) responden tidak setuju dengan kenyataan kajian bahawa pemimpin-pemimpin politik (tanpa mengira apa parti sekali pun) telah memainkan peranan dengan baik dan seperti yang diharapkan rakyat, dengan 24.6% responden lagi tidak pasti.

Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. Sekiranya kita membaca pendapat rakyat sama ada di blog atau Facebook, kelihatan jelas bahawa mereka “meluat” dan “menyampah” dengan suasana politik sekarang (melainkan “cybertrooper” yang memukul gendang untuk parti masing-masing!) – terlalu banyak masa dihabiskan berpolitik, tidak banyak masa untuk mentadbir negara.

Setiap hari isu-isu politik mendapat tempat di muka utama media massa; sekaligus menjadi perdebatan di media sosial; sesetengahnya cukup remeh, namun itulah yang mendapat tempat dalam media arus perdana atau portal berita di internet.

Selepas PRU12, Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkali-kali bercakap mengenai agenda perubahan. Begitu jugalah dengan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kata-kata “berubah atau diubah” dan “berubah atau rebah” diulang-ulang dalam banyak perhimpunan parti itu.

Kajian ini menunjukkan hanya 35.9% bersetuju bahawa UMNO telah berubah menjadi lebih baik. Sebanyak 43.7% responden tidak setuju bahawa UMNO telah berubah menjadi lebih baik berbanding PRU12; sementara 20.4% lagi tidak pasti. Maksudnya, UMNO perlu melakukan lebih banyak lagi untuk meyakinkan rakyat bahawa ia telah berubah.

Bagaimana pula dengan Pakatan Rakyat yang juga memasarkan agenda perubahan dan “harapan untuk rakyat” dalam PRU12 lalu. Hanya 24.0% responden sahaja yang setuju bahawa Pakatan Rakyat telah memenuhi harapan pengundi. Hampir separuh (48.1%) responden tidak setuju bahawa Pakatan Rakyat telah memenuhi harapan pengundi, manakala 27.9% lagi tidak pasti. Ini bererti, Pakatan Rakyat harus melakukan lebih banyak lagi untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu menguruskan kerajaan dengan lebih baik, sekaligus memenuhi harapan pengundi.

Dengan tiga pandangan responden di atas, maka tidak hairanlah sebanyak 66.8% responden berpendapat, Barisan Nasional akan kekal mentadbir Kerajan Persekutuan, manakala 33.2% responden berpendapat Pakatan Rakyat akan menang dalam PRU13. Walaupun sebahagian besar responden melihat UMNO belum berubah seperti yang dijanjikan, namun mereka juga berpendapat Pakatan Rakyat masih belum memenuhi harapan pengundi. Tumpuan rakyat ialah kepada politik pertentangan; bukannya kemampuan parti-parti politik mentadbir.

Kajian ini hanya menyatakan parti manakah yang akan membentuk kerajaan. Bagaimanapun, ia tidak menyatakan adakah kemenangan itu “simple majority” atau BN mampu mendapat kembali dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat. Kajian ini juga tidak mendapatkan pendapat responden mengenai pembentukan kerajaan di negeri-negeri, pasca PRU13.

Apa pun, pendapat 1,383 responden ini harus dianalisis dan difahami oleh pemimpin-pemimpin politik negara ini.

Saya mengucapkan terima kasih kepada beberapa orang pembaca blog ini yang memaklumkan kepada saya bahawa kajian ini telah “diangkat” (istilah yang mereka gunakan) kepada beberapa orang pemimpin parti politik. Semoga ia memberikan input yang diperlukan; selain pelbagai input lain yang mereka terima setiap hari.

Harapan saya, kita dapat beralih dari politik pertentangan kepada politik muafakat; dan dari politik emosi kepada politik fakta!

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.