Awang Adek: Dinar hanya boleh disimpan bukan diniaga

BACHOK, 28 Ogos — Kerajaan pusat tiada masalah jika dinar emas dan dirham perak yang diperkenalkan kerajaan Kelantan hanya untuk disimpan bukan bagi diniaga di pasaran terbuka, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata kerajaan pusat akan menentangnya jika kerajaan negeri cuba menggunakan kedua-duanya sebagai mata wang kerana ia menyalahi peraturan Bank Negara Malaysia dan boleh menganiyai orang ramai selain peniaga.

“Selain mudah ditipu dengan dinar emas palsu bahan logam itu juga nilai harganya turun naik setiap saat di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang zakat kepada fakir miskin di Dewan Haji Hussin, Perupuk di sini, hari ini.

Seramai 1,000 fakir miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perupuk masing-masing menerima wang zakat sebanyak RM70 sumbangan institusi kewangan kerajaan termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN), UDA Holding Sdn.Bhd dan Bank Rakyat.

Sebelum ini kerajaan negeri memperkenalkan dinar dan dirham itu sebagai transaksi yang akan digunakan lebih 100 peniaga termasuk sebagai gaji kepada kakitangan kerajaan Kelantan.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan mengakui beliau pernah menerbitkan dinar emas menerusi sebuah syarikat yang diterajui sebagai simpanan bukan untuk diniaga seperti yang didakwa.

Beliau mencabar kerajaan negeri agar menunjukkan bukti jumlah penggunaan dalam tempoh empat bulan akan datang jika benar dakwaan ia mendapat sambutan daripada pelbagai pihak selepas diperkenalkan.

“Saya tidak fikir penggunaannya melebihi RM1 bilion dalam tempoh berkenaan,” katanya. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.