Lagi laporan polis terhadap Namewee

KUANTAN, 31 Ogos — Permuafakan NGO Melayu Pahang Bersatu (Muafakat) hari ini membuat laporan polis terhadap pemuda dari Muar Johor, Wee Meng Cheng atau lebih dikenali “Namewee” ekoran perbuatannya menghasilkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Laporan itu dibuat oleh Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong yang mewakili 15 NGO terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.

Wee sebelum ini pernah mencetuskan kemarahan rakyat dengan klip videonya berjudul Negarakuku.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Wan Emril berkata apa yang dilakukan Wee merupakan satu bentuk provokasi yang disengajakan selain jelas menunjukkan pemuda itu tidak insaf meskipun pernah memohon maaf atas kesalahannya mengubah lirik lagu Negaraku kepada Negarakuku suatu ketika dahulu.

“Jangan bagi muka kepada individu seperti ini kerana tindakannya itu jelas menimbulkan kemarahan serta keresahan di kalangan rakyat,” tegasnya.

Antara 15 NGO terbabit ialah GPMS Pahang; Wira Perkasa Pahang; Alumni Graduan Muda Pahang; Majlis Belia Daerah; Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris); Majlis Guru Pahang dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pula berkata, Wee perlu diheret ke mahkamah secepat mungkin kerana tindakannya menerbitkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, tindakan pemuda itu yang berasal dari Muar menunjukkan beliau buta sejarah negara ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis Ceria Bubur Lambuk 1 Malaysia di Kulaijaya, Ahmad berkata, tindakan terhadap Namewee perlu disegerakan sebagaimana tindakan pantas kerajaan mengheret mereka yang bertanggungjawab di dalam beberapa isu perkauman baru-baru ini.

Ditanya mengenai cadangan sesetengah pihak supaya kerakyatan Namewee itu dilucutkan, Ahmad berkata, soal hukuman terserah kepada mahkamah. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.