Selangor, Melaka juga umum bayaran Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Kerajaan Selangor dan Melaka turut mengumumkan akan memberi bantuan khas kewangan RM500 seorang untuk menyambut Aidilftiri sebagaimana diumumkan oleh kerajaan pusat semalam.

Di Melaka, lebih 4,500 kakitangan awam kerajaan negeri Melaka dan semua agensinya, akan mendapat bayaran bantuan khas kewangan, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata kerajaan Melaka mengikut langkah kerajaan pusat memberi bantuan tersebut.

“Bantuan itu melibatkan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM2,278,500 dan bantuan tersebut akan dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama penduduk di Surau Taman Bahagia, Melaka malam tadi.

Mohd Ali berkata sumbangan tersebut diharap dapat meringankan bebanan kewangan untuk mereka menyambut hari raya dan mereka perlu menggunakan bantuan tersebut secara berhemah.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bantuan khas kewangan itu akan dibayar kepada pesara dan kakitangan awam dalam Gred 1 hingga 54.

Ia melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM934.6 juta iaitu RM639.6 juta untuk kakitangan awam dan RM295 juta bagi pesara.

Rakyat Malaysia dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 10 September ini.

Dalam pada itu, kakitangan Kerajaan Negeri Selangor juga akan menerima bayaran itsebanyak RM500. sebagai persediaan untuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata bayaran akan dibayar sebelum 1 Syawal kepada semua kakitangan Kerajaan Negeri kecuali kakitangan Gred JUSA ke atas.

“Seramai 9,089 kakitangan awam akan mendapat manfaat daripada keputusan ini yang melibatkan kos pembayaran sebanyak RM4.5 juta.

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan bayaran khas sebanyak RM250 kepada 5,297 guru Kelas Agama dan Fadhu Ain (KAFA) yang akan melibatkan pembayaran sebanyak RM1.3 juta,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menteri Besar berharap bantuan ini dapat meringankan beban kakitangan awam untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.

“Menteri Besar juga menasihatkan kakitangan awam dan guru KAFA supaya bersederhana dalam segala hal dan berbelanja secara berhemah mengikut kemampuan serta keperluan,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.