Nurul Izzah Terbit Utusan Rakyat 16 September Depan

PUTRAJAYA 31 Ogos - Utusan Rakyat, akhbar yang diterbitkan untuk memenuhi keperluan maklumat khusus bagi penduduk kawasan parlimen Lembah Pantai dijangka keluar di pasaran pada 16 September depan sempena sambutan Hari Malaysia ke-47.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata beliau telah menghantar permohonan permit bagi akhbar baru itu pagi semalam ke Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-QUran, Kementerian Dalam Negeri.

Utusan Rakyat diterbitkan dengan tujuan menjadikannya sebagai satu media bebas agar rakyat dapat menilai dan membuat pertimbangan sendiri tanpa pengaruh mana-mana parti politik.

"Tujuan utama akhbar ini adalah agar satu wadah dapat diwujudkan untuk penglibatan konstruktif semua pihak dan merupakan satu usaha utama meyakinkan rakyat dan masyarakat luar terutamanya pelabur asing terhadap Malaysia yang benar-benar bebas dan merdeka," kata Nurul Izzah.

Kata beliau, permohonan bagi akhbar itu dibuat sebagai menyahut galakan supaya beliau bukan hanya menyuarakan pendapat di luar negara tetapi juga di dalam negara.

Ini berikutan temuramah beliaun yang disiarkan oleh majalah politik, Tempo di Indonesia yang telah dipolitikkan oleh pemimpin Umno-Barisan Nasional berhubung isu kapal selam Scorpene.

Jelas Nurul Izzah, ahkbar ini akan membuktikan kebebasan hak bersuara rakyat benar wujud setelah 53 tahun merdeka daripada penjajah.

Beliau juga berkata pemberian permit akhbar ini akan menunjukkan amalan demokrasi sememangnya dipraktikkan di Malaysia dan rakyat diutamakan, justeru menambahkan keyakinan rakyat terhadap KDN.

"Utusan Rakyat merupakan satu inisiatif saya sendiri dalam mewujudkan platform untuk penulis dan wartawan bebas berekspresi melalui penulisan tak berpartisan.

"Seperti selalunya, Pakatan Rakyat amat menyokong tindakan saya memandangkan akhbar ini tidak bercanggah dengan perjuangan dan intipati parti dan saya mendapati adanya keperluan satu media baru yang dapat mencapai rakyat di seluruh negara," jelas beliau.

Katanya, Utusan Rakyat akan memaparkan berita nasional daripada pihak Pakatan Rakyat dan juga Umno-BN serta pihak lain yang mahu memaparkan berita tidak berpartisan.

Akhbar ini juga boleh menyalurkan maklumat kepada rakyat mengenai pelan serta program untuk rakyat samada oleh Pakatan Rakyat atau parti pemerintah.

No comments

Powered by Blogger.