Mangsa kedua letupan bom buatan sendiri meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Mangsa kedua yang melecur dalam kejadian letupan bom buatan sendiri di tingkat bawah Apartmen Desa Tun Razak, Cheras di sini meninggal dunia pagi tadi.

Goh Weng Sing, 38, pekerja restoran, meninggal dunia kira-kira 5.45 pagi.

Dua hari lalu, Wong Siew Song, 51, meninggal dunia kira-kira 5.10 petang ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia — lebih sembilan jam selepas kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi kelmarin, kedua-dua mangsa telah diminta majikan mereka untuk mengangkat sebuah kotak misteri di depan rumahnya sebelum ia meletup dan terkena kedua-dua mangsa.

Goh dan Wong, seorang pekerja kafe siber, cedera parah sebelum meninggal dunia kemudian.

Akibat letupan kuat itu, cermin tingkap di lima rumah dalam deretan bangunan yang sama turut pecah.

Menurut laporan Bernama, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Othman berkata Goh meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dipindahkan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Goh berkata Weng Sing adalah anak ketiga daripada empat beradik dan sudah berkahwin.

“Saya tidak tahu pekerjaan anak saya selama ini, tetapi saya percaya anak saya telah dianiaya.

“Saya minta polis siasat perkara ini memandangkan suspek telah diketahui,” katanya kepada pemberita di luar bilik mayat HKL di sini hari ini.

Sementara itu, isteri mangsa yang bekerja di Singapura, yang turut berada di luar bilik mayat HKL itu, enggan ditemuramah.

Difahamkan polis telah pun mengambil keterangan daripada isteri suspek yang menghantar bom buatan sendiri itu, dan usaha menjejakinya sedang giat dijalankan, termasuk mengawasi rumah suspek.

Polis kini giat memburu suspek, dipercayai seorang kontraktor berumur 45 tahun, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kawasan perumahan itu.

No comments

Powered by Blogger.