Umno mula serius fokus PRU tergempar tahun depan

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Cakap-cakap bahawa Datuk Seri Najib Razak kemungkinan akan memanggil pilihan raya umum ke-13 lebih awal — sekitar enam bulan pertama tahun depan meskipun mandat semasa hanya berakhir Mei 2013.

Presiden Umno itu dipercayai telah mengetengahkan idea tersebut di kalangan pemimpin BN dan percaya sewajarnya mendapatkan mandat baru ketika ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 10.1 peratus pada suku pertama 2010 dan disusuli 8.9 peratus, yang agak rendah, pada suku kedua.

Najib, yang juga Pengerusi BN, mengambil alih kepimpinan kerajaan dan Umno akhir Mac 2009.

The Malaysian Insider difahamkan pegawai-pegawai di ibu pejabat Umno juga sudah mula memikirkan strategi dan langkah ketika parti-parti saingan mereka kelihatan lebih ke depan dalam mendaftar pengundi baru.

Komponen Pakatan Rakyat (PR) telah memikat dua kali ganda pengundi baru berbanding Umno dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Kami bimbang proses pendaftaran pengundi oleh orang-orang kami. Ia sangat perlahan,” kata seorang pegawai kepada The Malaysian Insider.

Pagi ini Perdana Menteri akan menghadiri sesi “Townhall BN Youth Lab” di Auditorium DBKL, yang menyaksikan sayap BN itu membentangkan strategi mereka memikat pengundi-pengundi muda.

Pemimpin-pemimpin kanan Umno dilihat menggalak penyokong-penyokong mereka ketika majlis-majlis berbuka puasa agar mengadakan kempen mendaftar pengundi baru.

Pengundi-pengundi baru, berusia antara 21 dan 35 tahun, dijangka menguasai separuh daripada keseluruhan bakal pemilih pada pilihan raya umum ke-13. Kira-kira 7.36 juta atau 49.7 peratus berbanding 40 peratus pada 2008 adalah dalam lingkungan itu.

Pemimpin-pemimpin Umno percaya bahawa tempoh setiap hari atau seminggu yang lewat bermakna lebih banyak pengundi baru akan memihak kepada PR khususnya DAP yang telah mendaftar 32.5 peratus daripada 169,838 pengundi antara Januari dan Jun tahun lalu.

Umno menyusul dengan kejayaannya telah mendaftar 32.3 peratus manakala PAS pula 22.7 peratus sepanjang tempoh yang sama.

“Umno biasanya akan mendaftar lebih ramai pengundi baru ketika cuti sekolah hujung tahun tetapi kami meraskaan adalah penting kami mendaftar seramai mungkin pengundi yang boleh sepanjang tahun khususnya di kalangan orang muda,” kata seorang pegawai Umno yang tidak mahu namanya dipetik.

Pegawai-pegawai Umno dan BN percaya bahawa perikatan itu akan memperoleh kejayaan yang melegakan jika sebahagian besar pengundi Melayu dan India mengundi mereka.

Mereka menganggarkan bahawa hanya 25 hingga 30 peratus pengundi Cina akan menyokong BN sementara yakin untuk menguasai sekurang-kurangnya 60 peratus sokongan Melayu dan India.

Difahamkan strategi utama ialah memikat pengundi Melayu yang lazimnya merupakan harapan besar Umno dengan sebahagian besar datang dari perkhidmatan awam dan kawasan-kawasan penempatan Felda selain pengundi kawasan luar bandar.

Ini menjelaskan sebab parti itu mengutarakan isu-isu bersifat perkauman. Bagaimanapun ada yang melihat ia akan melemahkan rakan-rakan Umno dalam BN manakala PR pula kelihatan semakin kukuh.

Bagaimanapun Umno yakin dengan sokongan orang Melayu dengan kajian terbaru menunjukkn 55 hingga 57 peratus pengundi Melayu sokong Umno-BN.

Dalam pilihan raya umum sejak 1986, sokongan Melayu hanya jatuh bawah paras 60 peratus ketika pilihan raya umum 1999 dan 2008.

Pegawai-pegawai Umno juga berkata parti itu sudah mengenal pasti calon-calon yang berpotensi untuk pilihan raya umum akan datang seawal tahun ini tetapi ia mengambil berat soal sama ada muka-muka baru boleh diterima di peringkat akar umbi.

“Kami tidak boleh meletakkan calon payung terjun dan sebab itu kami memulakan proses ini awal,” kata pemimpin itu.

Penyelidik Umno juga mendapati bahawa peralihan 10 peratus undi kepada BN akan mengurangkan kerusi PR daripada 77 yang dimiliki sekarang kepada hanya 27.

Pun begitu, di satu pihka yang lain 10 peratus peralihan undi kepada PR pula boleh meningkatkan tapak PR yang terdiri daripada DAP-PAS-PKR untuk menguasai Putrajaya tetapi kemungkinan kurang lima kerusi.

“Ini adalah senario yang menarik tetapi kami mengemaskinikan perkembangan dari semasa ke semasa,” kata beliau.

Difahamkan bahawa keputusan kerajaan untuk membayar imbuhan RM500 sempena Aidilfitri sesuatu yang luar biasa dan kemungkinan lebih banyak insentif akan diberikan khususnya apabila kerajaan mengumumkan Bajet 2011 Oktober ini.

Malah ada yang mendakwa ketiadaan bonus untuk kakitangan awam pada tahun 2007 juga salah satu sebab pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi berhadapan dengan prestasi pilihan raya yang tidak memuaskan dua tahun lalu.

Kerajaan BN mula memberikan bonus kepada kakitangan awam sejak 1993.

Ditanya mengenai keseriusan Umno-BN bersedia menghadapi pilihan raya umum tergempar, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata keputusan pilihan raya DUN Sarawak akan menentukan cepat atau lambat pilihan raya umum Parlimen.

“Saya merasakan pilihan raya tergempar sangat bergantung pada prestasi BN di Sarawak, yang rasa yakin pilihan raya negeri akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri dan November ini,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini ketika dihubungi.

“Jika BN memperlihatkan prestasi yang baik, BN akan menggunakan momentum itu untuk memanggil pilihan raya umum, dan jika prestasi tidak memuaskan, saya yakin ia akan dilewatkan sehingga hujung 2011 atau pada 2012.

“Apapun kesemuanya bergantung pada keputusan pilihan raya negeri Sarawak, yang saya lihat DUN akan dibubarkan sebelum pembentangan Bajet 2011, dan pengundian beberapa minggu kemudian,” katanya lagi.

Bagaimanapun Setiausaha PAS Datuk Mustafa Ali yakin pilihan raya hanya akan dibubarkan selepas Mac depan selepas mandat semasa genap tiga tahun.

Malah beliau kurang optimis Najib akan memanggil pilihan raya umum tahun depan.

“Mengikut perkiraan saya, BN belum bersedia, saya melihat BN ada banyak perkara yang belum diselesaikan... masih jauh lagi,” kata beliau sambil menambah, pilihan raya negeri Sarawak juga tidak mungkin tahun ini.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Bung Moktar Radin pihaknya merasakan tiada keperluan untuk BN memanggil pilihan raya awal.

“Pada pandangan saya tidak alasan, tidak ada keperluan (untuk mengadakan pilihan raya awal).

“Kalau boleh kami mahu kerajaan meneruskan mandat sekarang, menjalankan projek pembangunan, dan hanya panggil pilihan raya pada 2013,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan ini.

Selain menekankan tiada keperluan, kata Bung Moktar, langkah mengadakan pilihan raya awal juga satu pembaziran berbanding mandat lima tahun yang ada sekarang.

“Tiada apa-apa masalah besar, kerajaan Najib tidak berhadapan dengan apa-apa krisis, tiada masalah dengan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Najib... ekonomi pun OK berdasarkan apa yang diumumkan baru-baru ini,” kata pemimpin dari Sabah ini.

Ketika ditanya sama ada keputusan pentadbiran Najib semalam yang mengumumkan bayaran khas Aidilfitri boleh dianggap sebagai tanda-tanda ke arah pilihan raya awal, Bung Moktar berkata, pembayaran itu dibuat dengan ikhlas untuk “merayakan Aidilfitri” dan bukan bayangan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

No comments

Powered by Blogger.