MP Serdang sembah penjelasan, permohonan maaf kepada Sultan

KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tetapi menjelaskan, beliau tidak menyampaikan ucapan politik di Surau Al-Huda, Kajang yang didakwa pihak tertentu.

“Saya menyambut baik pesanan, peringatan dan nasihat dari semua pihak mengenai perkara tersebut, dan akan dengan segala upaya, menjalankan tugas saya dengan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa yang akan datang.

“Saya juga akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj mengenai perkara ini,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah hari ini.

Jelas Teo, beliau selaku Ahli Parlimen Serdang telah mengunjungi Surau Al-Huda untuk menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan untuk memperbaiki pagar surau dan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor,” kata wakil rakyat DAP penggal pertama ini.

Teo menambah, beliau menyesal perkara ini telah menimbulkan keresahan antara umat Islam dan telah diperhangatkan oleh pihak-pihak tertentu atas sebab-sebab politik.

“Saya ingin menegaskan secara ikhlas dan murni bahawa lawatan saya ke Surau Al-Huda tidak berniat politik, dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah dalam kenyataannya pagi ini menggesa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membuat siasatan lebih terperinci sebelum mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak berhubung isu ini.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya kesal dengan tindakan Mais ke atas Teo dan juga terhadap ahli jawatankuasa surau berkenaan.

Ean Yong berkata, beliau tidak mahu isu terbaru ini dipermainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti Utusan Malaysia, Umno dan Perkasa sebagai “satu isu politik dan perkauman untuk merosakkan keharmonian masyarakat kita.”

Semalam, Mais berkata pihaknya akan menghantar surat amaran kepada Teo yang dilaporkan menyampaikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda Ahad lalu.

Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata tindakan Teo itu menyebabkan Sultan Sharafuddin murka dan berdukacita.

Beliau berkata baginda telah mengarahkan Mais supaya mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pengurusan surau terbabit.

Katanya, Mais sudah memanggil pengurusan surau berkenaan kelmarin untuk menjelaskan isu itu.

No comments

Powered by Blogger.