Ibrahim perlu baca semula konsep 1 Malaysia, kata Umno

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Sambil menegaskan tidak mahu bertikam lidah, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan menasihati Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali agar membaca semula buku panduan konsep 1 Malaysia sebelum mempersoalkan gagasan yang dibawa pentadbiran Najib itu.

Ahmad berkata, Ibrahim sepatutnya meneliti dan memahami terlebih dahulu konsep 1 Malaysia sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Beliau (Ibrahim) kawan saya, jadi saya tidak mahu bergaduh dengan beliau.

“Kalau beliau tidak faham tentang konsep 1 Malaysia saya sarankan supaya beliau baca semula buku kecil 1 Malaysia yang boleh diambil di pejabat Jabatan Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata, Ibrahim sepatutnya tidak mempersoalkan dan memperbesarkan konsep 1 Malaysia yang dibentuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Tiada apa yang hendak dipertikaikan dalam konsep 1 Malaysia, rakyat semua sudah jelas, mengapa beliau masih tidak faham?

“Saya nasihatkan Ibrahim dan Perkasa supaya jangan memperbesarkan perkara yang tiada,” katanya.

Kelmarin, Ibrahim memberi tekanan baru ke atas Najib dengan meminta menjelaskan konsepnya 1 Malaysia, yang sesetengah pengkritik menganggapnya sebagai slogan cetek dan tidak membantu meredakan ketegangan kaum.

Ibrahim berkata, konsep 1 Malaysia telah dimanipulasikan oleh sesetengah pihak dengan mendakwa ia merujuk kepada soal kesamarataan antara kaum.

“Kami meminta Perdana Menteri menjelaskan konsep 1 Malaysia,” kata wakil rakyat Pasir Mas itu.

Ibrahim juga mencabar Najib agar membentangkan resolusi Parlimen untuk menggugurkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan jika konsep 1 Malaysia benar-benar merujuk kepada soal kesamarataan.

Perkara 153 merujuk kepada hak keistimewaan Bumiputera dan membolehkan kerajaan mengadakan kuota di institusi pengajian tinggi, peluang pekerjaan sektor awam dan permit.

Mengulas lanjut Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, konsep 1 Malaysia merujuk kepada soal perpaduan kaum, nilai-nilai murni dan juga berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

“Fokus utama dalam konsep 1 Malaysia adalah perpaduan kaum di mana orang Melayu, Cina dan India boleh bersatu dan menjadi aset utama negara.

“Selain itu, konsep 1 Malaysia berpegang kepada lapan nilai murni iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

“Malah konsep 1 Malaysia juga berpandukan kepada Perlembagaan Negara, jadi konsep ini akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara,” katanya.

Selain Perkasa, Penasihat DAP Lim Kit Siang turut mempersoalkan keberkesanan konsep 1 Malaysia, yang dibawa Najib sejak dilantik sebagai Perdana Menteri April 2009, ekoran insiden-insiden bersifat perkauman dengan dua pengetua mengeluarkan kenyataan berbaur rasis.

No comments

Powered by Blogger.