Dua pengawal keselamatan hospital di Klang ditembak rakan sekerja

KLANG, 27 Ogos — Dua pengawal keselamatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini mati ditembak oleh seorang rakan setugas mereka di perkarangan tempat letak kereta kakitangan hospital itu hari ini.

P. Mailvanagam , 47, dari Kuala Lumpur dan S. Gunasilan, 22, dari Taman Sentosa di sini, yang masing-masing terkena satu das tembakan di dada, mati di tempat kejadian.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Omar Mammah berkata kejadian pada kira-kira pukul 5.30 pagi itu dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati pengawal keselamatan berumur 37 tahun itu terhadap seorang daripada mangsa yang menegurnya kerana tidur semasa bertugas.

“Tindakan seorang daripada mangsa menegur suspek menyebabkan berlaku pertengkaran dan cabar-mencabar antara suspek dan mereka.

“Dalam pertengkaran itu suspek kemudian melepaskan dua das tembakan menggunakan selaras pump gun, satu das tembakan mengenai setiap mangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Omar berkata pengawal keselamatan yang berasal dari Sabah itu menyerah diri di pondok polis HTAR sejurus selepas kejadian itu. Dia baru tiga bulan bertugas di hospital itu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu dan kedua-dua mangsa, yang ketika kejadian bertugas syif malam, tidak pernah berselisih faham sebelum kejadian itu.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke HTAR untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan bunuh, katanya.

Sementara itu, ibu Gunasilan, M.Rajeswari, 37, yang juga pengawal keselamatan di HTAR berkata beliau sedang bertugas di wad bersalin, tingkat satu di hospital berkenaan apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.25 pagi.

“Mula-mula mereka kata kes kemalangan jadi saya tanya kenapa panggil saya. Kemudian saya pergi ke tempat letak kereta dan saya tengok anak saya telah mati. Kali terakhir saya jumpa Gunasilan ialah semasa dia datang ke tempat saya bertugas untuk mengambil makanan kira-kira pukul 12.30 pagi,” katanya.

Seorang pengawal keselamatan yang juga rakan sekerja suspek dan kedua-dua mangsa, Zulkarnain Saad, 27, berkata sebelum kejadian suspek datang ke tempatnya bertugas di tempat letak kereta dan bertanyakan di mana penyelianya.

“Apabila saya cakap tidak tahu, dia ucap selamat tinggal dan kemudian terus masuk ke dalam hospital. Tidak lama kemudian saya terdengar bunyi dua das tembakan,” katanya.

Ketua pengawal keselamatan HTAR Abd Ghani Abd Rahman, 37, pula berkata beliau berada di bilik pengawal apabila terdengar bunyi letupan yang disangkakan bunyi mercun.

“Tidak lama kemudian, pengawal keselamatan itu datang berjumpa saya dengan memegang pump gun dan memberitahu dia telah tembak orang. Saya tidak percaya pada mulanya dan pergi ke tempat kejadian untuk tengok apa yang berlaku.

“Bila nampak mayat kedua-dua mangsa saya terus pergi ke pondok polis minta mereka datang ke tempat kejadian. Saya tidak pernah dengar ketiga-tiga mereka bergaduh sebelum ini,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.