Ambil pedoman Al Quran sepakatkan Pakatan

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 18 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru anggota konvensyen Pakatan Rakyat mengambil pedoman dari falsafah yang ditonjolkan Islam menerusi al-Quran bagi menjaga kesepakatan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

Tuan Guru juga seterusnya berkata, bersesuaian dengan Islam agama perpaduan, anggota Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan Pakatan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan harapan kepada perwakilan Konvensyen Ke-2 Pakatan Rakyat yang bakal berlangsung pada 19 di Kepala Batas, Pulau Pinang.

2000 perwakilan dan pemerhati dari PAS, PKR dan DAP akan menyertai konvensyen yang akan diadakan di Dewan Millenium Kepala Batas bermula jam 8.30 pagi hingga malam itu.

Konvensyen ini dijangka mempersembahkan cerita kejayaan Pakatan Rakyat dalam mentadbir beberapa negeri di samping merancang bersama persiapan menghadapi pilihan raya.

“Anggota konvensyen perlu mengambil pedoman daripada falsafah al-Quran itu sendiri sebagai penghubung penyelesaian ummah di samping meletakkan asas keagamaan teratas dalam menguruskan Pakatan Rakyat,”ujarnya lagi.

Beliau seterusnya berkata, Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza.

Sebagai contoh katanya, 10 manusia yang diciptakan Allah, didapati 10 kepala (pemikiran) yang bebeza.

“Bagaimanapun, rupa yang berbeza dan pendapat yang berbeza itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan al-Quran, kerana Islam itu untuk semua,” ujarnya lagi.

Katanya, manusia akan selamat kehidupan mereka dunia dan akhirat sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul.

No comments

Powered by Blogger.