Asri: Tahan 200 pengikut Syiah bukti Malaysia tuju era talibanisasi

KUALA LUMPUR, 18 Dis - Bekas mufti Perlis mendakwa penahanan sekitar 200 pengikut Syiah oleh agensi agama di Gombak dekat sini Rabu lalu, tanpa sebarang tanda zahir mereka melakukan keganasan, bukti Malaysia menuju ke "era talibanisasi."

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, walaupun tidak bersetuju dengan ajaran Syiah tetapi tindakan pihak berkuasa menafikan kebebasan mengamalkan apa yang diyakini seseorang menunjukkan Malaysia menuju negara "ala Taliban."
Pengikut-pengikut itu termasuk rakyat tempatan dan asing dihadapkan di mahkamah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Walaupun saya secara peribadi tidak bersetuju dengan ajaran Syiah bahkan sering mengkritik dan berhujah dengan mereka, namun saya tidak dapat menerima pendekatan kerajaan Malaysia yang kononnya demokratik yang menafikan kebebasan rakyat untuk mengamal apa yang mereka yakin selagi tidak menggugat keselamatan awam.

"Malaysia cuba menjadi negara 'ala Taliban' yang hanya membenarkan satu aliran sahaja," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Asri juga menegaskan, sudah ada trend "tiada keterbukaan" dan agensi-agensi pihak berkuasa pula tidak mengamalkan perbincangan ilmiah terlebih dahulu."
Justeru kata Asri, jika trend itu berterusan beliau bimbing keadaan negara akan tegang dan unsur-unsur keganasan akan timbul.

"Ini biasanya meletus di negara yang hak bersuara selalu dinafikan. Mungkinkah kerajaan mempunyai agenda tersendiri dalam hal ini?" katanya lagi.
Malah menurut Asri, dalam era globalisasi pendekatan hujah dan ilmu hendaklah mendahului pendekatan kuasa dalam isu-isu hak rakyat.

"Hujah ditentang oleh hujah, bukan hujah ditentang oleh kuasa," katanya lagi.
Laporan Khamis lalu menyebut pihak berkuasa Malaysia mengesan kegiatan satu ajaran Syiah tegar, yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan, bergerak aktif di negara ini berikutan penahanan 200 pengikut dan dua ketua kumpulannya.

Dua ketua kumpulan itu termasuk seorang warga Iran telah dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat semalam dan dibebaskan dengan jaminan.

Para pengikut lain juga telah dibebaskan dengan jaminan Jais dan akan dipanggil untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

Kumpulan yang ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves dekat sini malam Rabu lalu, menganggap penganut Islam mazhab lain sebagai kafir dan halal dibunuh.

Kumpulan itu dilapor menyebar fahaman memukul badan sendiri menggunakan rantai sehingga berdarah sebagai tanda menyucikan dosa pada setiap 10 Muharam.
Ia dikatakan antara 23 penyelewengan agama diamalkan oleh kumpulan ajaran sesat itu yang dikenali sebagai Hauzah Ar Ridha Alaihissalam.

Kumpulan faitu dikesan sudah dua tahun menjalankan kegiatan mereka di tingkat empat rumah kedai berkenaan.

Dalam serbuan sepasukan penguat kuasa Jais, seramai 200 pengikut terdiri daripada lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak sedang khusyuk berselawat dan mendengar khutbah daripada seorang lelaki warga Iran.

Sebahagian pengikutnya yang ditahan merupakan pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi, peguam dan kakitangan kerajaan.

Pengikutnya terdiri daripada 75 lelaki dan 35 wanita tempatan, enam wanita dan tiga lelaki warga Indonesia, dua wanita Myanmar serta masing-masing seorang lelaki Pakistan, Myanmar dan Iran, manakala selebihnya kanak-kanak.

Ia merupakan penahanan terbesar melibatkan pengikut ajaran yang didakwa sesat dicatatkan di Selangor setakat ini.

Jais percaya ajaran tersebut turut tersebar di negeri-negeri lain.

Secara kebetulan pada hari penahanan itu, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata, orang Islam di negara tidak digalakkan mengahwini penganut ajaran Syiah kerana bimbang wujud konflik dalam perkahwinan terutamanya dalam aspek hak penjagaan anak sekiranya pasangan bercerai.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Perlis telah mengambil keputusan supaya peringatan diberikan kepada orang Islam berkaitan Hukum Pernikahan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan penganut Syiah.

Jawatankuasa itu telah membuat keputusan itu dalam satu persidangan pada November lalu.

"Jawatankuasa ini sebulat suara bersetuju dengan keputusan orang Islam tidak digalakkan mengahwini penganut ajaran Syiah.

"Keputusan jawatankuasa ini telah diangkat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan telah diperakukan dalam mesyuarat yang bersidang pada 7 Disember lalu," katanya.

No comments

Powered by Blogger.