Azmin: Penggantungan empat ahli parlimen Pakatan Rakyat bermotif politik

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendakwa keputusan Dewan Rakyat menggantung empat ahli Parlimen Pakatan Rakyat bermotif politik yang bertujuan mengurangkan suara Pakatan Rakyat di Parlimen.

Semalam Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggantung Ketua Pembangkang yang juga ahli Parlimen PKR Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR- Subang) dan Azmin (PKR – Gombak) selama enam bulan dari menghadiri sidang dewan.

Anwar digantung kerana membuat kenyataan One Israel sama dengan 1Malaysia yang ada kaitan dengan firma perhubungan awal Apco Worldwide.

Manakala Azmin, Karpal dan Sivarasa digantung atas beberapa kesalahan.

"Tindakan itu tidak mempunyai asas sama sekali serta tidak menurut prosedur Parlimen.

"Ini merupakan tamparan kepada pembangunan demokrasi dan keluhuran undang-undang di dalam negara.

"Demokrasi terancam akibat pemerintah yang tidak mempunyai hasrat untuk berubah dan tidak mahu mengangkat keadilan serta kebenaran," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kata Azmin, beliau yakin keangkuhan pemerintah yang korup itu akan menyebabkan Kerajaan Umno-BN tumbang pada pilihanraya umum ke 13.

Katanya, rakyat menilai bahawa Umno-BN dengan pemusatan kuasa, tidak menghormati integriti institusi Parlimen.

Beliau berkata, tindakan penggantungan tersebut juga tidak bersandarkan kepada ‘rule of law’.

"Prinsip keadilan asasi diabaikan di mana hak kami berempat untuk mempertahankan diri daripada dakwaan tersebut dihadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diabaikan.

"Kerajaan Umno–Barisan Nasional telah mempertontonkan kerakusan dan keangkuhan kuasa yang melampau," tambahnya.

Azmin juga mendakwa, alasan Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang mencadangkan untuk menggantung beliau tidak boleh diguna pakai kerana beliau tidak pernah sesekali menyiarkan kandungan surat Apco tersebut kepada sesiapapun ataupun sewaktu berbahas di dalam Dewan.

Katanya, isu Apco telah berkali-kali dibangkitkan di dalam parlimen yang membawa implikasi kepada kepentingan dan keselamatan negara.

"Apa salahnya sebagai seorang ahli parlimen yang dipilih rakyat, saya membangkitkan urusan yang berkaitan dengan kepentingan dan keselamatan negara?," katanya.

No comments

Powered by Blogger.