Azwan, penyokong gay dan kerajaan dikecam di alam siber

Oleh K Pragalath

PETALING JAYA: Rata-rata pembaca dan penulis di alam siber berasa marah dan melahirkan rasa meluat terhadap pengakuan Azwan Ismail dalam rakaman video Youtube bahawa dia seorang gay.

Azwan, seorang jurutera Melayu yang mengaku dirinya gay dalam video, merupakan satu daripada 15 video mengenai komuniti lesbian, gay, biseksual dan transseksual. Video tersebut buat kali pertama telah dipertontonkan pada festival seni Seksualiti Merdeka di Kuala Lumpur Ogos lalu.

Blogger Zainol Abideen, yang lebih dikenali sebagai Mahaguru58 mengutuk kerajaan Barisan Nasional yang didakwa ‘terbukti semakin hari semakin tidak berani menegakkan hukum-hakam agama Islam di negara ini’.

“Perdana Menteri Dato Seri Mohd Najib Tun Razak dan sepupu beliau Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri seolah-olah buta dan lemah terhadap keperluan memantau penularan budaya kemaksiatan yang semakin menjadi-jadi ini,” tulisnya dalam entri blog yang bertajuk “Azwan Ismail, Budaya Gay dan Seksualiti Merdeka.

JAKIM dan Kerajaan BN Buta Ke?

Dalam artikel, beliau turut menamakan golongan aktivis homoseksual dan lesbian sebagai ‘sebahagian daripada pelopor projek homoseksual dan lesbianisme sedunia.

Azwan dan ibu bapanya turut dikecam . Beliau menulis bahawa Azwan tidak akan wujud hari ini sekiranya bapa Azwan seorang peliwat.

Merujuk kepada Sunnah Rasulullah saw, baginda menyatakan bahawa hukuman kepada mereka yang melakukan liwat ialah hukum bunuh.

Penyokong gay turut jadi sasaran

Sementara itu, pihak-pihak yang dilihat sebagai menyokong budaya gay turut menjadi sasaran perasaan marah pengguna laman sosial.

Seorang yang dikenali sebagai Muzzamil Faridza telah mengutuk penyanyi Liyana Fizi di laman Facebooknya: “!@#$ %^& Liyana Fizi kerana sokong mak nyah”.

Muzammil yang menyamakan gay sebagai zalim turut menyoal pendirian Liyana yang mempertahankan hak ‘pelaku kesalahan’.

Liyana membalas dengan menyatakan bahawa golongan mak nyah tidak pernah merompak, menipu atau mencederakan diri atau keluarganya.

Pengguna laman komuniti turut tidak ketinggalan mengutuk Azwan. “Allah melaknat kaum sodomi….xblja agma btol die nih….” komen seorang yang dikenali dengan nama Ajiq di laman komuniti, gempak.org

No comments

Powered by Blogger.