Badrul Amin – Istana Beri Lampu Hijau Terima Memorandum Air

SHAH ALAM, 4 Dis – Penyelaras kempen perhimpunan menentang kenaikan harga air, Badrul Amin Bahrom berkata perhimpunan yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Ahad ini tetap diteruskan kerana wakil Istana Negara telah memberikan lampu hijau bagi pihaknya menerima memorandum berkenaan.

Beliau yang dihubungi petang tadi berkata meskipun pengarah kempen yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok tidak dimaklumkan oleh pihak polis mengenai permit perhimpunan tersebut.

“Polis tidak menjawab walaupun kita telah memaklumkan kepada mereka dan kita hanya diberi amaran melalui media oleh pihak polis.

“Kita tetap teruskan perhimpunan atas alasan, ia merupakan hak setiap individu untuk berhimpun,” ujar beliau.

Menurut Badrulamin lagi, ini berdasarkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Jagjit Singh yang membebaskan orang kena tangkap (OKT) daripada semua pertuduhan kes perhimpunan Bersih 2007 lalu.

Dalam perbicaraan tersebut, Jagjit berkata pihak polis telah melanggar kebebasan beragama dalam Artikel 11 Perlembagaan apabila menangkap semua tertuduh di Masjid Negara.

Ditanya tentang langkah-langkah yang telah diambil tentang persediaan perhimpunan yang akan diadakan itu beliau berkata pihaknya telah menyediakan 500 petugas yang terdiri daripada Unit Amal (PAS), Briged Keadilan dan Penyelaras Komunikasi Selangor (Pikom) bagi menghalang provokasi daripada pihak-pihak tertentu.

“Mereka akan mengawal provokasi yang berkemungkinan dicetuskan oleh kumpulan baju hitam dan daripada pihak polis sendiri.

“Kita telah menasihat pihak kita supaya tidak bertindak liar dan bersabar menghadapi apa sahaja bentuk provokasi dan ikut arahan pemimpin.

Pada masa sama, beliau turut berharap kumpulan baju hitam menghentikan hasrat untuk mengganggu perjalanan perhimpunan menentang kenaikkan harga air.

“Kalau betul-betul ada bukti penyelewengan negeri Selangor, ikutlah saluran yang betul…serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan bukannya kepada Yang Di-Pertuan Agong.

“Saya minta pihak polis juga bersikap profesional dan bijaksana dalam menangani kedua-dua perhimpunan tersebut,” tambah beliau yang juga Ketua Penerangan Selangor.

No comments

Powered by Blogger.