Dua MP DAP digantung empat jam kerana gagal kawal emosi

KUALA LUMPUR, 9 Dis — Dua Ahli Parlimen DAP Jeff Ooi Chuan Aun dan Fong Po Kuan digantung daripada menyertai persidangan Dewan Rakyat sehingga pukul 2.30 petang kerana gagal mengawal emosi masing-masing semasa sesi soal jawab.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan itu selepas kedua-dua anggota Parlimen tersebut mempersoalkan tindakannya yang tidak membenarkan Ooi (DAP-Jelutong) meneruskan soalan tambahan berhubung kontrak yang diberikan kepada Bumiputera dalam projek menaik taraf Lapangan Terbang Pulau Pinang.

Pandikar Amin yang sejak awal pagi menegur anggota Dewan agar mengemukakan soalan tambahan yang jelas dan padat berkata, soalan Ooi tidak mempunyai kaitan dengan soalan asal mengenai projek tersebut.

“Duduk. Yang Berhormat tak dengar apa saya kata. (Tindakan) salah. (Soalan tambahan) tak kena mengena dengan soalan asal. Duduk. Ahli-ahli Yang Berhormat, saya menggunakan kuasa saya untuk merehatkan (wakil) Jelutong. Balik semula pada 2.30 petang,” katanya.

Fong (DAP-Batu Gajah) kemudiannya bangun mempertikaikan keputusan Pandikar Amin itu malah meminta Speaker juga keluar berehat seketika menyebabkan turut mengarahkan beliau keluar Dewan sehingga pukul 2.30 petang. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.