DUN Tenang: PAS akan wakili Pakatan, yakin buat kejutan

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 18 Dis — PAS akan meletakkan calonnya di DUN Tenang sambil yakin bakal mencatatkan kejutan pada pilihan raya kecil kali ini berdasarkan prestasi parti itu sejak lebih sedekad lalu.

Mengambil kira pengalamannya bertanding dalam tiga pilihan raya umum yang lalu - 1999, 2004 dan 2008, Naib Presden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya akan bertanding di kerusi tersebut.

PAS bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Tenang sejak 1999 manakala pada pilihan raya umum 1990 dan 1995, Semangat 46 menurunkan calonnya di mana PAS menjalin kerjasama dengannya.

“PAS pernah bertanding pada pilihan raya umum sebelum ini, jadi ini kerusi bagi PAS meletakkan calon. Maka, PAS akan meletakkan calon di sini untuk bertanding,” kata Tuan Ibrahim kepada The Malaysian Insider.

Pengarah Operasi Jentera PAS DUN Tenang Zulkifli Ahmad juga mengesahkan pihaknya akan meletakkan calon mereka walaupun ada kedengaran DAP kemungkinan bertanding.

Perkembangan 13 pilihan raya kecil sejak Mac 2008 menunjukkan Pakatan Rakyat mengekalkan kesepakatan pembahagian kerusi Mac 2008.

“Secara tradisi ini kerusi diperuntukkan dan ditandingi PAS. Berdasarkan konvensyen pembahagian kawasan, kerusi yang ditandingi oleh mana-mana parti dalam pilihan raya umum lalu akan ditandingi oleh parti berkenaan.

“Atas sepakat ini, PAS akan bertanding di kerusi DUN Tenang,” kata beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor ketika dihubungi petang ini.

Katanya, PAS Johor mengadakan mesyuarat terbaru malam tadi.

“Kami sudah mengadakan mesyuarat tiga hari lalu dan yang terbaru malam tadi bagi membincangkan persediaan,” kata Zulkifli lagi.

Dalam komen pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta jentera Barisan Nasional (BN) dan Umno supaya bukan sahaja mempertahankan kerusi DUN Tenang, sebaliknya meningkatkan jumlah sokongan pengundi kawasan berkenaan.

Muhyiddin berkata pilihan raya kecil tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak dan BN memerlukan penglibatan secara bersatu sebagai syarat mencapai kejayaan.

Pilihan raya kecil ini akan diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha awal pagi semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka akan mengadakan mesyuarat hujung minggu depan. Ia pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008 dan yang pertama di Johor.

Allahyarham Sulaiman, 59, meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini pukul 1.10 pagi semalam akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis. DUN Tenang yang terletak dalam kawasan Parlimen Labis mempunyai 14,511 pengundi berdasarkan perangkaan SPR 2008 dan kira-kira 49 peratus pengundi adalah kaum Melayu, Cina pula 38 peratus manakala masyarakat India dalam lingkungan 12 peratus.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 2,492 undi menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya yakin untuk merampas kerusi itu memandangkan rakyat Johor mahu melihat perubahan dengan kesan tsunami 2008 masih dapat dilihat dan dirasai di negeri itu.

“Selain itu, kita melihat generasi muda mahukan perubahan di peringkat Johor, dan oleh itu, saya yakin mereka akan meneruskan sokongan untuk membawa perubahan,” katanya sambil menambah, wakil rakyat Pakatan Rakyat juga telah menunjukkan prestasi baik di Dewan Undangan Negeri sepanjang dua tahun lalu.

Kini PAS dan DAP ada anggota di DUN Johor.

PAS memenangi satu kerusi dua tahun lalu. “Ini juga akan menjadi kayu ukuran untuk meneruskan sokongan kepada Pakatan Rakyat di Tenang,” katanya.

Malah menurut Tuan Ibrahim, pencapaian calon PAS sejak 1999 di kerusi DUN Tenang menunjukkan ada peluang baik untuk menang kali ini.

“Peluang itu, saya sangat yakin ada, cuma kita kena kerja kuat dan meletakkan calon terbaik di kalangan yang terbaik,” kata Zulkifli lagi.

Pada pilihan raya umum 2008 BN mempertahankan kerusi Tenang dengan 2,492 undi berbanding 5,517 undi empat tahun sebelum itu.

Pada pilihan raya umum 1999 majoriti diperoleh calon BN adalah dalam lingkungan 8,649 undi ketika pengundinya dalam sekitar 24,100 orang.

Mengenai calon, Zulkifli berkata, pihaknya ada tiga hingga empat nama buat masa sekarang.

“Bagaimanapun cawangan dan kawasan akan mengemukakan nama masing-masing untuk pertimbangan negeri dan pusat,” katanya.

Ditanya sama ada Mohd Saim akan diturunkan buat kali ketiga, Zulkifli berkata, kemungkinan itu ada tetapi semua aspek akan diteliti dengan mendalam.

“Yang penting kami akan memilih yang terbaik daripada kalangan terbaik,” katanya.

Kata Zulkifli, PAS memenangi tiga pusat pengundian di kawasan bandar. DUN mempunyai 12 pusat pengundian. Zulkifli berkata pihaknya juga akan memfokus ke atas tiga kawasan Felda yang menawarkan kira-kira 3,000 pengundi.

“Sebenarnya kawasan Felda ini masih menjadi kawasan kubu kuat Umno, BN. Tetapi kami akan turut memfokus kerana ia membawa kira-kira 3,000 undi dari tiga kawasan Felda,” katanya merujuk kepada Felda Cemplak, Cemplak Barat dan Tenang.

Pilihan raya kecil DUN Tenang juga dilihat pilihan raya kecil pertama dalam tempoh 15 tahun lalu.

No comments

Powered by Blogger.