Elizabeth: Hanya iklan bisnes dilarang guna logo 1Malaysia

SHAH ALAM – 26 Dis – Larangan penggunaan logo 1 Malaysia di negeri Selangor adalah sah tetapi ia terpakai ke atas iklan-iklan komersil, kata Exco Kerajaan Negeri Elizabeth Wong.

Memetik laporan The Malaysian Insider Elizabeth berkata, kerajaan negeri mempertahankan langkah pengerusi jawatankuasa pihak berkuasa tempatan Ronnie Liu yang memutuskan larangan logo 1 Malaysia pada papan-papan iklan.

Katanya, peraturan pihak berkuasa tempatan sudah pun dikuatkuasakan sejak 2007 ketika Selangor masih diterajui Barisan Nasional (BN), dan oleh itu, ia bukan sesuatu yang baru sebagaimana disangkakan sesetengah pihak.

Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada pilihan raya umum Mac 2008. Wong juga mendedahkan kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan agar tidak membenarkan logo 1 Malaysia pada papan-papan iklan bisnes bulan lalu.

“Di bawah peraturan kecil, logo mana-mana parti tidak dibenarkan pada iklan perniagaan. Ia seperti membenarkan logo PKR pada syarikat elektronik Ahmad, kita tidak boleh berbuat demikian.

“Kami boleh benarkannya jika ia membabitkan program kerajaan yang bersifat berkecuali. Tetapi kita semua tahu bahawa logo 1 Malaysia sinonim dengan Barisan Nasional, malah ia digunakan ketika pilihan raya kecil (termasuk Hulu Selangor April lalu),” kata beliau.

Bagaimanapun BN masih boleh menaikkan bunting yang membawa logo 1 Malaysia atau simbol parti di negeri itu memandangkan ia satu perkara yang sangat berbeza.

“Mereka masih boleh menggunakan logo 1 Malaysia atau BN pada bunting untuk tujuan ceramah atau perjumpaan perayaan seperti Tahun Baru, Krismas. Anda bayar untuk penggunaan bunting di bawah (kategori) pengiklanan politik. Wujud perbezaan yang jelas,” katanya lagi.

“Point di sini ialah peraturan kecil terpakai pada logo politik pada iklan-iklan bisnes dan ruang niaga bisnes.

“Malah Rocket Cafe, pada satu tahap, (tindakan) mereka juga bercanggah dengan peraturan kecil dan mereka telah dimaklumkan mengenainya. Jadi, ini terpakai kepada semua parti,” jelasnya.

Elizabeth mengakui bahawa wujud sedikit kekeliruan mengenai butiran larangan itu.

Ini kerana katanya, Ronnie Liu tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk menjelaskan perkara tersebut.

“Jika orang ramai tahu bahawa ia hanya terpakai kepada iklan bisnes, tidak harus wujud keliruan sangat dalam isu ini,” kata beliau.

Awal pagi ini, Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor bagi pelaburan, industri dan perdagangan, Teresa Kok berkata, pemimpin-pemimpin kanan negeri akan bertemu minggu depan untuk membincangkan isu itu.

“Saya tidak mahu mengulas kerana Exco Kerajaan Negeri belum bertemu lagi dan membincangkan perkara ini. Kami akan bertemu minggu pertama bulan depan untuk membincangkan perkara ini dan lihat apa yang perlu dilakukan,” kata beliau selepas menghadiri majlis sambutan.

No comments

Powered by Blogger.