Fitnah Jelek SB Malaysia dan Agensi Perisikan Singapura

12 Dis – Pendedahan WikiLeaks yang dipetik oleh akhbar Australia, Sydney Morning Herald membuktikan bahawa fitnah liwat terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim merupakan usaha jahat Cawangan Khas Polis Malaysia untuk menjatuhkan kredibiliti serta karier politik Anwar.

Menurut laporan tersebut, pimpinan tertinggi Singapura dan agensi perisikan negara itu dengan sengaja mengiyakan dan memanjangkan fitnah ke atas Anwar kepada agensi perisikan Australia, Office of National Assessment (ONA).

Sumber dhaif dan palsu yang dirujuk oleh agensi perisikan Singapura bersandarkan maklumat daripada Cawangan Khas Polis Malaysia membuktikan bahawa UMNO begitu terdesak melakukan apa sahaja untuk menghalang kebangkitan rakyat.

Namun begitu, petikan laporan tersebut menunjukkan bahawa Office of National Assessment Australia (ONA) yakin bahawa tuduhan terhadap Anwar merupakan satu perangkap sekaligus menolak kenyataan jahat pimpinan tertinggi serta agensi perisikan Singapura.

Pandangan ini adalah hasil daripada pantauan secara dekat oleh peguam senior Australia, Mark Terence Trowell QC serta kenyataan Senator Nick Xenophon, Ahli Parlimen Bebas Australia Selatan yang mewakili 61 Senator Australia mempertikai prosedur perbicaraan kes fitnah terhadap Anwar yang jelas melanggar prinsip-prinsip asas keadilan.

Kita sedar bahawa agensi perisikan Singapura dan Cawangan Khas Polis Malaysia sudah bekerjasama sekian lama, tetapi kerjasama tersebut tidak menumpukan kepada keselamatan serantau tetapi menjurus untuk keuntungan politik kedua pimpinan tersebut.

Kenyataan peribadi Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew membayangkan bahawa beliau tidak dapat menerima kepimpinan Anwar Ibrahim dan tidak mahu melihat Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya kerana ianya akan menjejaskan kedudukan Singapura di rantau ini.

No comments

Powered by Blogger.