Jayaselan Sumbang Emas Pertama Negara Di Sukan Universiti Asean

Daripada Ainul Huda Mohamed Saaid

CHIANG MAI, 17 Dis (Bernama) -- Atlet karate V.Jayaselan meraih emas pertama Malaysia menerusi acara kumite lelaki individu kategori atas 84kg pada Sukan Universiti Asean 2010 di Gimnasium Universiti Utara Chiang Mai di sini.

Jayaselan menundukkan peserta Laos, Sengpheng Duangvilai 2-0 sekaligus mempertahankan emas yang dimenanginya pada temasya itu di Kuala Lumpur pada 2008.

"Saya memang telah jangkakan dapat emas. Ini memang sasaran saya. Bagaimanapun bukan mudah kerana lawan dari Laos tadi telah memberikan tentangan yang sengit," kata pelajar jurusan komunikasi dari Universiti Putra Malaysia itu.

Selain itu, peserta lelaki individu bawah 84kg Roney Roger Sining dari Malaysia hanya mampu membawa pulang perak setelah tewas di tangan peserta Thailand, Sutthichi Akhiao 5-7 pada perlawanan akhir.

Karate turut menyumbang tiga gangsa menerusi Uriel Yu, Cheng Wei Han dan Nur Eleena Anis Abdul Malik, masing-masing dalam acara individu kumite lelaki bawah 67kg, lelaki bawah 75kg dan wanita bawah 55kg.

Pada Sabtu, karate menawarkan enam lagi pingat emas.

No comments

Powered by Blogger.