Kenyataan Media: Usaha terakhir Penguasa terus bernafas

KENYATAAN MEDIA
KELAB ANWAR IBRAHIM (AIC)

“Penggantungan 4 Ahli Parlimen: Usaha terakhir Penguasa untuk terus bernafas”

Kelab Anwar Ibrahim (AIC) memandang serius berita terbaru berkaitan cubaan menggantung 4 Ahli Parlimen Pakatan termasuk Ketua Pembangkang, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah diusulkan di Parlimen melalui Aturan Urusan Mesyuarat tanpa melalui notis 7 hari seperti kebiasaan.

Di samping sistem kehakiman yang terus-menerus menerima kritikan antarabangsa, Parlimen seolah-olah menjadi institusi ‘rubberstamp’.

Speaker Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia seolah-olah gagal memisahkan fungsi beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat dengan keahlian Umno beliau.

Tiada lagi pemisahan kuasa dan limitasi Kuasa Eksekutif yang telah dijanjikan melalui Perlembagaan Persekutuan.

AIC menganggap ini sebagai langkah terakhir Umno-BN untuk mengekang kemaraan rakyat yang kian marah dengan kenaikan harga minyak,barangan keperluan harian,dan juga kemungkinan kenaikan harga air dan elektrik yang berpotensi dilakukan bila-bila masa.

Demokrasi di Malaysia adalah contoh Demokrasi-Otoritarian di mana menurut Filasuf John Locke “ianya jelas melawan akal manusia yang normal, sebuah kerajaan berpelembagaan tanpa keadilan bagaikan sekumpulan perompak kejam!”

Tiada sekelumit harapan untuk rakyat terus bebas di dalam demokrasi seperti ini. Perubahan wajib dilakukan!

AIC percaya bahawa tindakan ini jelas menggambarkan betapa terdesaknya sang penguasa untuk terus berkuasa. AIC percaya sudah tiba masanya penguasa harus akur dengan pola sentimen rakyat daripada berselindung di balik institusi yang dikuasai mereka.

HASANI MOHAMED
Koordinator Media
Kelab Anwar Ibrahim (AIC)

http://anwaribrahimclub.com

No comments

Powered by Blogger.