LHDN Jangka Laksana Potongan Gaji Bayaran PTPTN Pada 2012

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dijangka dapat melaksanakan skim potongan gaji secara automatik terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai 1 Jan 2012.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Tan Sri Hasmah Abdullah berkata pihaknya sedang merangka undang-undang, sistem dan operasi bersama PTPTN bagi membolehkanya mengutip pinjaman dengan lebih berkesan.

"Draf yang sedang dikemaskini akan dibawa ke Parlimen selewat-lewatnya pada bulan Jun tahun depan," katanya di majlis penutu projek Sistem Perakuanan Hasil Berelektronik (eRAS) LHDN, di sini hari Isnin.

Beliau berkata undang-undang ini penting bagi membolehkan LHDN mengambil tindakan yang sewajarnya jika peminjam tidak membuat bayaran.

Menurutnya, buat masa ini, peminjam masih boleh terus membuat bayaran secara sukarela di LHDN kerana pihaknya adalah salah satu daripada saluran untuk bayar balik pinjaman.

LHDN telah diberi tanggungjawab menjadi ejen kutipan berkenaan bagi mengatasi masalah tunggakan hutang oleh peminjam yang dihadapi PTPTN.

Terdahulu, Hasmah berkata pihaknya akan melaksanakan sistem eRAS di LHDN yang mempunyai enam modul iaitu e-Lejar, e-BayarBalik, e-Kutipan, e-Akaun, e-Penyata dan EIS.

Sistem tersebut disediakan oleh Century Software (M) Sdn Bhd, setelah perjanjian untuk membangunakan sistem itu ditandatangani dua tahun lepas.

Beliau berkata sistem ini dijangka dapat meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pembayar cukai dan membantu pegawai-pegawai LHDN melaksanakan tugas dengan efisyen.

"e-Penyata penting kerana mampu mengeluarkan penyata akaun kepada pembayar cukai apabila taksiran tambahan atau taksiran kurangan dibangkitkan ke atas pembayar cukai," katanya.

LHDN telah menyediakan pusat panggilan mengenai eRAS di talian 1-300-88-3010 untuk sebarang pertanyaan.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.