Mahkamah Rayuan Syariah benar permohonan Dr Asri

SHAH ALAM, 28 Dis — Mahkamah Rayuan Syariah Shah Alam hari ini membenarkan permohonan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin untuk mengemukakan rayuan terhadap isu pemindahan kes mengajar agama Islam tanpa tauliah dari Mahkamah Rendah ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Panel tiga hakim, Tan Sri Ibrahim Lembut, Datuk Aidi Mokhtar dan Datuk Md Yusup Che Teh sebulat suara membuat keputusan itu dengan alasan ia melibatkan undang-undang yang berkaitan dengan kepentingan awam.

Pada 28 April lepas, Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Abdul Shukor Abdul Hamid memindahkan kes Dr Mohd Asri dari Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Md Yusup semasa membacakan keputusan itu berkata perayu yang diwakili peguam Kamar Ainiah Kamaruzzaman diberikan masa selama 14 hari, mulai hari ini untuk memfailkan rayuan.

Md Yusup berkata mahkamah berpuas hati dengan permohonan itu kerana mempunyai asas, khususnya dalam isu bidang kuasa Ketua Pendakwa Syarie memindahkan kes itu yang memberikan kesan kepada pemohon dan kes-kes hadapan, yang melibatkan kepentingan awam untuk mengemukakan rayuan.

Md Yusup berkata isu bidang kuasa Ketua Pendakwa Syarie untuk memindahkan kes tanpa sekatan perlu diperhalusi dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan kelak.

Pada 18 Nov tahun lepas Dr Mohd Asri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah rumah di Lorong 2C, Taman Seri Ukay Ampang antara pukul 8.10 malam hingga 9.45 malam 1 Nov 2009.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 dan jika sabit kesalahan Mohd Asri berhadapan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.