MB sumbang sepertiga simpanan untuk parti

Hafiz Irwan

KOTA BHARU, 16 Dis: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bercadang akan menyumbangkan satu pertiga daripada wang simpanannya kepada parti bagi memantapkan lagi parti dalam memperjuangkan daulah Islamiyah.

"Saya sudah maklum pada setiausaha saya minta semak duit dalam akaun ada berapa, kemudian bahagi tiga. Saya hendak beri kepada parti sebagai sumbangan dalam memantapkan gerakan daulah Islamiyah," katanya kepada pemberita selepas ditemui di kediamannya hari ini.

Tindakan itu sebagai tanda kesyukuran di atas keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menutup kes bersabit tajaan terhadapnya untuk mengerjakan haji melibatkan kos RM65,000 tahun lalu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, dakwaan berhubung rasuah yang dilempar ke atasnya sebelum ini adalah berpunca dari rasa benci pihak tertentu lantaran kecekalannya memperjuangkan dasar Islam.

"Orang tuduh saya kerana benci dengan saya terus memperjuangkan Islam. Tapi, walau apapun, asal kita ini berada pada landasan yang benar, Allah tetap bantu kita dengan kebenaran.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT dengan keputusan itu," katanya.

Semalam, SPRM membuat keputusan menutup kes membabitkan Nik Abdul Aziz yang sebelum ini didakwa menerima wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji tahun lalu

No comments

Powered by Blogger.