Mukhriz kurang pengalaman jadi pengerusi Umno Kedah

Oleh Muda Mohd Noor

ALOR SETAR: Pemimpin Umno Kedah boleh menerima sesiapa sahaja menjadi pengerusi baru termasuk anak mantan perdana menteri, Datuk Mukhriz Mahathiz yang juga ahli Parlimen Jerlun.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan perlantikan pengerusi Umno Kedah pada 28 Disember.

Ketika ini, pengerusi Umno Kedah disandang oleh Datuk Shafie Apdal, naib presiden Umno dari Sabah sejak April 2009.

Bagaimanapun, Setiausaha Umno Kubang Pasu, Shamsuddin Ahmad berkata, belum masa lagi untuk melantik Muhkhriz sebagai ketua perhubungan negeri Kedah.

"Beliau belum belajar banyak lagi, masih kurang pengalaman.

"Menjadi pengerusi Umno di negeri Kedah yang kalah ini bukan tugas mudah, kerana tugasnya adalah untuk merampas semula negeri ini dari PAS," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mukhriz, timbalan menteri perdangangan antarabangsa merupakan anak sulung mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad

Shamsuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Mukhriz menjadi ketua perhubungan Umno Kedah jika dilantik jawatan itu.

Menurut Shamsuddin, ada pemimpin lain yang lebih layak dari Mukhriz untuk menjadi pengerusi perhubungan Umno Kedah.

"Datuk Johari Baharum (ketua bahagian Kubang Pasu) lebih layak kerana beliau sudah lama dalam politik Kedah," katanya.

Ketua Umno Pendang, Datuk Rozai Shafian pula berkata, Umno bahagiannya boleh menerima sesiapa untuk menerajui kepimpinan Umno negeri.

Katanya, telah menjadi kelaziman presiden Umno memilih pengerusi sesebuah negeri.

"Kita terima Mukhriz. Kalau beliau layak menajdi timbalan menteri, tentulah beliau layak jadi ketua perhubungan Umno Kedah," katanya.

No comments

Powered by Blogger.